This dissertation has been submitted by a student. This is not an example of the work written by our professional dissertation writers.

PENGENALAN

Malaysia berusaha menerapkan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam pelbagai bidang seperti perniagaan, industri, komunikasi dan pendidikan untuk mengembang dan mengekalkan kemajuan negara ke arah sains dan teknologi berlandaskan Wawasan 2020. Pada tahun 2001, kerajaan telah mewartakan k-Ekonomi Master Plan. Ekoran itu, hasrat tersebut dimanifestasikan dalam bentuk reformasi sistem pendidikan Malaysia dan lahirnya pelbagai usaha untuk meningkatkan penggunan ICT seperti media elektronik berbentuk e-book dan e-Learning untuk menggantikan media pengajaran dan pembelajaran yang konvensional (Chan, 2002).

Pengajaran berbantukan ICT melalui penerokaan sumber digital boleh membantu meningkatkan minat pelajar serta menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan. Bagi menghadapi cabaran baru kesan daripada globalisasi, liberasi, pengantarabangsaan dan perkembangan ICT pada abad ke-21, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menyediakan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 yang dapat melahirkan warganegara yang berilmu pengetahuan, celik ICT, berkemahiran dan berakhlak mulia. Matlamat pelan tersebut adalah untuk merapatkan jurang digital dengan menyediakan kemudahan ICT antara lokasi dan meningkatkan kemahiran ICT di kalangan guru dan pelajar (PPIP 2006-2010, 2006).

LATAR BELAKANG KAJIAN

Pendifusian inovasi adalah teori tentang bagaimana sesuatu idea atau objek baru tersebar supaya dapat diterima oleh individu yang disasarkan (Rogers, 2003). Teori ini diasaskan oleh Everett Rogers pada tahun 1964 melalui bukunya yang berjudul Diffusion of Innovations. Konsep difusi didefinisikan sebagai satu proses yang menerangkan bagaimana sesuatu inovasi dikomunikasikan melalui pelbagai saluran media pada jangka masa tertentu dalam sesebuah sistem sosial. Manakala inovasi pula didefinisikan sebagai sesuatu idea, amalan atau objek yang baru dan dicipta untuk menimbulkan keselesaan, lebih kos efektif dan lebih berkesan (Rogers, 2003). Teori Pendifusian Inovasi Rogers menjelaskan terdapat beberapa faktor yang menentukan penerimaan sesuatu inovasi. Penerimaan seseorang individu terhadap inovasi yang diperkenalkan adalah tidak sama. Penerimaan terhadap inovasi banyak dipengaruhi oleh ciri-ciri peribadi serta latar belakang individu itu sendiri (Surry & Ely, 2002). Dalam konteks kajian ini, pendifusian inovasi perisian kursus multimedia interaktif dalam kalangan guru akan dikaji.

Penubuhan Koridor Raya Multimedia (MSC) dengan memberi penekanan kepada tujuh aplikasi utama iaitu kerajaan elektronik, tele-perubatan, sekolah bestari, kad pintar, pemasaran tanpa sempadan, kelompok penyelidikan dan pembangunan dan jaringan perusahaan sedunia merupakan salah satu usaha kerajaan untuk mengukuhkan ICT di Malaysia (MSC, 2000). Pada tahun 1999 kerajaan telah melancarkan program Sekolah Bestari dengan melibatkan 88 buah sekolah dan ia merupakan projek yang menjadi kesinambungan daripada penubuhan MSC. Seterusnya, kerajaan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bermula dengan Tahun 1, Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 Rendah di seluruh negara pada tahun 2003. Beberapa strategi pelaksanaan PPSMI ialah menyediakan guru dengan latihan intensif bahasa Inggeris, Kursus Orientasi Kurikulum, latihan penggunaan ICT, peralatan teknologi maklumat dan bahan perisian khas.

Salah satu usaha dalam pelaksananan PPSMI ialah menggalakkan guru untuk menggunakan bahan pengajaran yang menggabungkan elemen multimedia seperti audio, video, grafik, teks dan animasi. Elemen-elemen multimedia ini dipercayai dapat membawa perubahan dalam cara guru mengajar dalam bilik darjah di samping menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris lebih menarik dan berkesan (Noor Azliza & Lilia, 2002). Oleh itu, penggunaan Multimedia dalam pendidikan merupakan satu keperluan dalam era teknologi maklumat dan komunikasi. Ia dianggap sebagai edutainment (education entertainment) dan Infotainment (Information entertainment) (Handwerker, 2001). Multimedia merupakan rangsangan kepada perubahan dalam proses pengajaran berbanding dengan kaedah pengajaran konvensional (Gayle & Uma, 1996).

Di Malaysia, KPM telah mula sedar akan kepentingan penggunaan perisian kursus multimedia interaktif ke atas persekitaran pembelajaran dalam bilik darjah. Pengajaran dengan berbantukan perisian kursus boleh berubah menjadi panduan atau mentor dengan maklum balas secara interaktif daripada hanya berfungsi sebagai pembekal maklumat asas dan pemahaman sahaja (Lee, Cheung, & Chen, 2005). Dengan adanya teknologi multimedia, ia berkemungkinan mencipta sekolah maya dan sekolah global bagi aplikasi jarak jauh (Saadé & Bahli, 2005).

Mata pelajaran Matematik merupakan mata pelajaran yang wajib dipelajari oleh semua pelajar sekolah menengah. Matematik mengandungi topik-topik yang sukar difahami oleh pelajar kerana perkara yang ingin disampaikan adalah berbentuk abstrak. Perkaitan di antara satu konsep dengan konsep yang lain menimbulkan kekeliruan dan menyebabkan pelajar sukar memahami konsep yang baru dan berbeza-beza dalam Matematik (Mohd Salahuddin, 2006). Dalam keadaan ini, pendekatan pengajaran konvensional tidak dapat menarik minat dan merangsang proses pembelajaran. Kesannya pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Matematik terjejas.

Menurut Pusat Perkembangan Kurikulum (2000), penggunaan perisian kursus boleh membantu pelajar untuk menvisualisasi konsep Matematik yang abstrak dengan lebih berkesan. Selain itu, penggunaan perisian juga dapat membantu murid memodelkan masalah yang mereka terokai dengan lebih berkesan. Mohd Nizar (2007) menyatakan bahawa penggunaan perisian kursus multimedia interaktif dalam pengajaran Matematik dapat menggalakkan penglibatan pembelajaran aktif pelajar dalam pengajaran seterusnya meningkatkan prestasi pencapaian akademik pelajar.

Kajian ini akan dijalankan di Sekolah Menengah Kebangsaan Harian di negeri Kedah Darul Aman. Negeri Kedah merupakan salah satu daripada 14 negeri yang membentuk Persekutuan Tanah Melayu (Malaysia). Kedah terletak di utara Semenanjung Malaysia dan berkeluasan 9426 km persegi. Ia terdiri daripada 12 buah daerah pentadbiran iaitu Kota Setar, Kuala Muda, Kulim, Kubang Pasu, Langkawi, Padang Terap, Sik, Baling, Yan, Pendang, Bandar Baharu dan Pokok Sena (Jabatan Penerangan Negeri Kedah, 2010). Pembangunan pendidikan di Negeri Kedah adalah selari dengan polisi pendidikan peringkat kebangsaan yang menekankan kepada kecemerlangan pelajaran dan melahirkan golongan profesional dalam pelbagai bidang. Bagi memenuhi keperluan pendidikan di negeri Kedah, kerajaan telah membina sekolah rendah dan sekolah menengah di bandar dan luar bandar. Selain itu, negeri Kedah juga mempunyai institusi pengajian tinggi awam iaitu UUM, Universiti Teknologi Mara, Kolej Universiti Pertanian, Universiti Islam INSANIAH, UITM dan Universiti Perubatan.

PENYATAAN MASALAH

Kajian-kajian tentang pendifusian dan penerimaan inovasi telah dijalankan secara meluas dalam pelbagai bidang. Misalnya Toshihiko Mukoyama (2005) telah mengkaji aspek pendifusian dalam bidang ekonomi. Toshihiko Mukoyama telah mengkaji tentang pendifusian dan penerimaan inovasi teknologi-teknologi baru di bawah konsep Skill Heterogeneity. Alkemade1 dan Castaldi (2005) pula telah menjalankan kajian berkaitan strategi pendifusian inovasi dalam rangkaian sosial. Manakala Kabbar dan Crump (2006) pula telah mengkaji tentang faktor-faktor yang mempengaruhi penerimaan ICT dalam kalangan imigran baru di New Zealand. Huskey (2009) telah menjalankan kajian kes dalam bidang perubatan dengan mengkaji tentang pendifusian inovasi penjagaan kesihatan berbantukan Teknologi Maklumat. Dalam bidang pendidikan, Ndubisi (2004) telah mengkaji tentang pendifufian inovasi e-Pembelajaran dari aspek niat untuk menerima dan menggunakan teknologi e-Pembelajaran dalam pengajaran dan pembelajaran. Richardson (2007) pula telah menjalankan kajian pendifusian inovasi ICT dengan mengkaji penerimaan latihan berasaskan teknologi dalam kalangan guru pelatih di Cambodia.

Dalam konteks pendidikan Di Malaysia, hanya terdapat beberapa kajian yang dijalankan tentang pendifusian dan penerimaan inovasi. Antaranya ialah kajian oleh Mohd. Sarif (1998) yang telah mengkaji tentang faktor-faktor yang menjadi penghalang kepada pendifusian teknologi pendidikan di kalangan guru Sekolah Menengah Sains di pantai timur semenanjung Malaysia. Manakala Nor Aziah dan Ahmad Marzuki (2004) telah mengkaji tentang pendifusian dan penerimaan Sistem Pengurusan Pembelajaran dalam meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran. Sima, Jayakaran dan Roselan (2009) pula telah mengkaji tentang pendifusian dan pengintergrasian Pengajaran Berasaskan Web (WBI) dalam kalangan staf Fakulti Bahasa Inggeris di Universiti Putra Malaysia. Rodney, Michael dan Christina (2009) telah membuat kajian ke atas penerimaan inovasi perbincangan dalam talian dalam kalangan pensyarah Universiti Swinburne Kampus Sarawak. Mereka telah mengkaji penerimaan perbincangan dalam talian serta persepsi pensyarah terhadap perbincangan dalam talian. Ini menjelaskan bahawa kajian-kajian tentang pendifusian telah menumpukan bagaimana sesuatu inovasi disebar dan diterima oleh pengguna.

Pihak KPM menganggap ICT sebagai suatu alat untuk merevolusikan pembelajaran, memperkayakan kurikulum, memperkembangkan pedagogi dan meningkatkan penguasaan pelajar. Bagi memantapkan ICT dalam pendidikan, KPM telah membelanjakan RM580 juta untuk menyediakan pelbagai bahan teknologi untuk digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran, memberikan latihan kepada guru dan menyediakan kemudahan (Utusan Malaysia, 2002). Keputusan untuk menggunakan ICT dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti pengetahuan, kemahiran, kemudahan dan kekangan di sekolah. Bagi tujuan membantu guru menyepadukan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran, guru dibekalkan dengan perisian kursus multimedia interaktif. KPM mendapati penerimaan dan penggunaan perisian kursus yang berasaskan multimedia interaktif dapat membawa perubahan yang besar terutama dari aspek kaedah pengajaran guru dan cara belajar pelajar (KPM, 2001).

Perisian kursus mempunyai potensi untuk meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran di samping menyediakan capaian kepada maklumat dan menggalakkan interaksi antara pelajar melalui pelbagai aktiviti (Roblyer & Edwards, 2000). Justeru, perisian kursus juga membolehkan para pelajar memperolehi ilmu dan kemahiran-kemahiran menerusi pembelajaran kendiri. Kajian-kajian oleh Mohd Nizar (2007) dan Azizah (2006) menunjukkan bahawa perisian kursus multimedia interaktif berjaya meningkatkan pencapaian pelajar dan meningkatkan motivasi mereka terhadap mata pelajaran yang dipelajari. Penggunaan perisian kursus menjadikan mata pelajaran Matematik lebih menarik dengan adanya pelbagai teknik pengajaran dan elemen-elemen multimedia. Penggunaan perisian kursus multimedia interaktif dalam mata pelajaran Matematik dapat melatih kemahiran penyelesaian masalah atau pengajaran sesuatu topik yang sukar dikuasai oleh pelajar menerusi kaedah pengajaran yang sedia ada (Nor Azan et al., 2009, Ibrahim et al., 2005)

Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan untuk memperkenalkan dan menggalakkan penggunaan perisian kursus dalam pengajaran dan pembelajaran, tetapi timbul persoalan sama ada guru bersedia untuk menerima dan menggunakan perisian kursus seperti yang diharapkan. Penerimaan dan penggunaan perisian kursus dalam pengajaran dan pembelajaran adalah masih rendah (Pusat Perkembangan Kurikulum, 2006; Fong, 2006). Dapatan kajian oleh Azizah (2006) menyokong kenyataan ini. Azizah dalam kajiannya mendapati penggunaan perisian kursus dalam kalangan guru di Malaysia masih pada tahap rendah. Dapatan kajian-kajian ini, menunjukkan guru hanya menerima dan menggunakan perisian kursus sebagai sumber sokongan dalam pengajaran dan pembelajaran. Kemampuan inovasi teknologi tersebut tidak digunakan sepenuhnya oleh guru (Moerch, 1995).

Menurut Sanders dan Morrison (2001), terdapat tiga sebab yang memerlukan kajian tentang proses pendifusian dalam bidang teknologi pendidikan. Sebab pertama ialah kebanyakan ahli teknologi pendidikan kurang pengetahuan tentang mengapa produk mereka diterima atau sebaliknya. Sanders dan Morrison (2001) percaya bahawa kajian tentang pendifusian dapat membantu ahli teknologi pendidikan untuk memahami punca berlakunya keadaan tersebut. Sebab yang kedua ialah bidang teknologi pendidikan tidak dapat dipisahkan dengan inovasi dan ahli teknologi pendidikan perlu mempunyai pengetahuan tentang proses pendifusian dan model pendifusian inovasi. Dengan itu, ahli teknologi pendidikan akan menjadi lebih bersedia untuk menghadapi penerima sesuatu inovasi. Sebab yang ketiga ialah kajian tentang pendifusian dapat membantu untuk membina model pendifusian yang lebih sistematik.

Surry dan Ely (2002) mendapati sikap pereka yang hanya menumpukan kepada pembangunan bahan teknologi yang menjadi punca kurangnya penggunaan sesuatu teknologi dalam kalangan guru. Mereka menambah bahawa keadaan ini menyebabkan tidak ada jaminan untuk mendifusikan teknologi. Rogers (1995) menyatakan proses pendifusian adalah satu proses yang rumit dan dipengaruhi oleh banyak faktor. Kelebihan teknologi itu sendiri hanya merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi keputusan seseorang guru untuk menerima dan menggunakan sesuatu inovasi. Ciri-ciri seperti interaksi sosial yang kompleks dan faedah penggunaan juga mempengaruhi penerimaan sesuatu teknologi dan penggunaannya (Rogers, 2005). Dalam hal ini, Teori Pendifusian Inovasi boleh diaplikasikan untuk mencari penyelesaian kepada masalah kurangnya penerimaan perisian kursus multimedia interaktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Pajares (2002) menyatakan kepercayaan guru terhadap kemampuan sesuatu kaedah atau bahan boleh mempengaruhi keputusan guru untuk menerima dan mengaplikasikan kaedah atau bahan tersebut dalam pengajaran dan pembelajaran. Sikap bimbang dan tidak yakin terhadap diri sendiri untuk menguasai sesuatu teknologi baru akan menyebabkan guru kurang berminat untuk menerima sesuatu inovasi ICT. Justeru, pengalaman guru yang negatif semasa menggunakan teknologi mendorong guru untuk tidak menerima inovasi ICT yang baru (Mohd Nizar, 2007). Di samping itu, kekurangan perisian kursus yang berkualiti dan kesukaran mengendalikan perisian kursus juga menyebabkan guru menganggap bahawa penggunaan inovasi ICT dalam pengajaran pembelajaran tidak berkesan (Sima, Jayakaran & Roselan, 2009). Seterusnya guru sekolah menghadapi masalah kekurangan masa untuk mereka bentuk pelajaran yang melibatkan penggunaan inovasi ICT. Selain itu, guru juga menghadapi masalah kekurangan sokongan dari segi sokongan pihak pengurusan dan sokongan peralatan ICT untuk menerima dan mengintergrasikan inovasi ICT seperti yang disasarkan (Mohammad Sani et al. 2001).

Dalam kajian-kajian lepas tentang pendifusian inovasi, para penyelidik hanya menumpukan kepada faktor-faktor daripada perpektif tertentu sahaja, sama ada perspektif penerima, inovasi atau persekitaran. Walau pun terdapat banyak faktor yang mempengaruhi penerimaan sesuatu inovasi, tetapi dalam kajian ini enam faktor yang menjadi dominan dalam ketiga-tiga perspektif untuk mengkaji hubungan faktor-faktor tersebut dalam menjamin keberkesanan pendifusian dan penerimaan perisian kursus multimedia interaktif dalam kalangan guru Matematik di Sekolah Menengah Kebangsaan Harian di negeri Kedah. Pemilihan faktor-faktor pendifusian adalah berdasarkan kepada model-model seperti Model Pendifusian Rogers, Technology Acceptance Model (1986), Model Theory of Reasoned Action (1975) dan Model Theory of Planned Behavior (1986) dan kajian-kajian lepas.

OBJEKTIF KAJIAN

Objektif kajian ini secara umumnya adalah untuk meninjau hubungan faktor-faktor pendifusian yang mempengaruhi penerimaan perisian kursus dalam kalangan guru Matematik. Secara khususnya kajian ini bertujuan:

  1. Mengenal pasti hubungan faktor-faktor pendifusian dengan penerimaan perisian kursus.
  2. Mengenal pasti faktor yang menjadi penyumbang utama dengan penerimaan perisian kursus.
  3. Mengenal pasti perbezaan signifikan antara perspektif penerima, inovasi dan persekitaran dengan penerimaan perisian kursus.
  4. Mengenal pasti perbezaan signifikan antara variabel jantina, umur, pengalaman mengajar dan lokasi sekolah dengan penerimaan perisian kursus.

PERSOALAN KAJIAN

  1. Sejauhmanakah faktor-faktor pendifusian mempengaruhi penerimaan perisian kursus?
  2. Apakah faktor yang menjadi penyumbang utama ke atas penerimaan perisian kursus?
  3. Adakah terdapat perbezaan signifikan antara perspektif penerima, inovasi dan persekitaran dengan penerimaan perisian kursus?
  4. Adakah terdapat perbezaan signifikan antara variabel jantina, umur, pengalaman mengajar dan lokasi sekolah dengan penerimaan perisian kursus?

KEPENTINGAN KAJIAN

Tujuan kajian ini adalah untuk mengkaji hubungan faktor-faktor pendifusian seperti pengalaman, efikasi kendiri, kelebihan relatif, kerumitan, sokongan dan masa yang mempengaruhi penerimaan perisian kursus dalam pengajaran dan pembelajaran. Walau pun terdapat banyak faktor yang mempengaruhi penerimaan sesuatu inovasi, tetapi enam faktor yang menjadi dominan dalam tiga perspektif iaitu penerima, inovasi dan persekitaran dipilih untuk melihat hubungan faktor-faktor tersebut dalam menjamin keberkesanan pendifusian dan penerimaan perisian kursus multimedia interaktif. Dapatan kajian ini dapat membantu untuk mengenal pasti faktor-faktor yang perlu diberi penekanan dalam pendifusian dan penerimaan perisian kursus multimedia interaktif dalam kalangan guru.

Hasil kajian ini boleh membantu individu yang terlibat dalam mereka bentuk perisian kursus untuk pengajaran dan pembelajaran. Individu dapat mengetahui reka bentuk program pendidikan yang diharapkan oleh guru dan penlajar. Dengan itu, mereka akan menitikberatkan ciri-ciri pengguna sasaran semasa mereka bentuk produk pendidikan. Dalam konteks kajian ini, perisian kursus yang dihasilkan perlu memenuhi keperluan pendidikan. Ia harus mengambil kira tentang kepelbagaian kebolehan murid dan guru. Penggunaan perisian kursus perlu sesuai dalam pelbagai persekitaran pembelajaran (Eliane, 2001). Ia juga perlu mempunyai reka bentuk antaramuka yang baik serta dihasilkan secara profesional supaya dapat digunakan dalam pelbagai gaya pengajaran dan pembelajaran.

Dapatan ini akan membantu pereka bentuk produk untuk merancang latihan dan pembangunan staf serta mencari penyelesaian kepada pendifusian sesuatu inovasi yang akan dibangunkan.

LIMITASI KAJIAN

Penerimaan dan penggunaan teknologi pendidikan hanya berfokus kepada inovasi perisian kursus multimedia interaktif yang dibekalkan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan, KPM untuk mata pelajaran Matematik. Perisian kursus mengandungi isi pelajaran yang lengkap untuk mata pelajaran Matematik serta mengikut sukatan pelajaran sepenuhnya.

Responden yang terlibat dalam kajian ini adalah guru yang mengajar Matematik untuk tingkatan satu di sekolah menengah kebangsaan (SMK) harian yang terletak di negeri Kedah sahaja. Sekolah yang terlibat dalam kajian ini adalah terdiri daripada sekolah di bandar dan luar bandar seperti yang telah dikategorikan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Kedah.

Kajian ini juga terbatas kepada penerimaan perisian kursus multimedia interaktif dalam mata pelajaran Matematik sahaja. Penerimaan perisian kursus dalam mata pelajaran Sains tidak dikaji. Proses pembelajaran Matematik adalah kompleks dan dinamik. Pengajaran Matematik yang melibatkan konsep-konsep yang abstrak menyebabkan pelajar menghadapi kesukaran menguasai kemahiran Matematik. Perkaitan di antara satu konsep dengan konsep yang lain juga menimbulkan kekeliruan dan menyebabkan pelajar sukar memahami konsep yang baru dan berbeza-beza. Dalam perisian kursus multimedia interaktif isi pengajaran disusun dan dipersembahkan secara teratur supaya pelajar dapat membina konsep dan kemahiran Matematik secara aktif dan bermakna. Dengan itu, pelajar dibantu membina konsep abstrak dengan visual yang konkrit.

Perisian kursus multimedia interaktif

Bahan pengajaran dalam bentuk CD-ROM yang dibekalkan untuk penggunaan guru oleh Bahagian Teknologi Pendidikan untuk mata pelajaran Matematik. Perisian Kursus yang dibangunkan adalah bersifat recourse based berdasarkan kurikulum dan bertujuan membantu pelajar dalam aspek pembelajaran. Bahan pengajaran ini menggabungkan elemen-elemen teks, video, grafik, animasi dan audio di dalam komputer dan pengguna boleh berinteraksi dengannya (Putt & Henderson, 1996).

Sekolah Menengah Kebangsaan Harian

Sekolah menengah kebangsaan harian yang ditentukan berdasarkan data daripada Jabatan Pendidikan Negeri Kedah.

Lokasi Sekolah

Lokasi sekolah bandar atau luar bandar ditentukan berdasarkan data daripada Jabatan Pendidikan Negeri Kedah.

Guru Matematik

Kajian merujuk kepada guru yang mengajar mata pelajaran Matematik di tingkatan satu.

Kesimpulan

Bab satu menjelaskan tentang pendifusian inovasi, pembangunan ICT di Malaysia dan masalah penerimaan dan penggunaan inovasi ICT yang rendah. Enam faktor yang menjadi penyumbang utama dalam keberkesanan pendifusian inovasi akan dikaji untuk melihat hubungan antara faktor-faktor tersebut dengan penerimaan perisian kursus multimedia interaktif dalam kalangan guru Matematik di sekolah menengah kebangsaan harian di negeri Kedah. Di samping itu, ia juga membincangkan tentang objektif kajian, persoalan kajian, hipotesisi kajian, kepentingan kajian, batasan kajian dan definisi operasional.

Pengenalan

Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti faktor-faktor yang boleh mempengaruhi proses pendifusian dalam persekitaran pendidikan. Faktor pengalaman dan efikasi kendiri digunakan untuk mengkaji ciri-ciri penerima inovasi. Faktor kelebihan relatif dan kerumitan dipilih untuk melihat ciri-ciri inovasi itu sendiri. Manakala faktor sokongan dan masa pula adalah berasaskan kepada ciri-ciri persekitaran di mana sesuatu inovasi akan diperkenalkan. Tinjauan literatur ini akan fokus kepada proses pendifusian inovasi, faktor-faktor yang menjadi halangan kepada pendifusian, model-model teknologi maklumat dan pelaksanaan pengajaran berbantukan perisian kursus.

Pendifusian Inovasi

Pendifusian inovasi ialah suatu proses bagaimana inovasi disebarkan melalui saluran komunikasi tertentu kepada ahli-ahli dalam suatu sistem sosial. Rogers (2003) menegaskan bahawa penerimaan sesuatu inovasi bergantung pada empat unsur iaitu ciri inovasi, saluran komunikasi, masa dan sistem sosial. Menurut Yusuf Hashim (1998) sesuatu inovasi yang diperkenalkan boleh dikatakan berjaya melalui proses pendifusian sekiranya lebih 84 peratus pengguna akhir telah menerima dan menggunakan inovasi itu. Dengan itu, kejayaan sesuatu inovasi banyak bergantung pada faktor pendifusian inovasi tersebut.

Menurut Sherry dan Gibson (2002) kajian tentang penggunaan inovasi telah dijalankan lebih daripada 30 tahun dahulu dan teori Pendifusian Rogers (1995) telah menjadi asas kepada kajian-kajian yang berkaitan dengan pendifusian inovasi. Teori ini mempunyai hubungan yang kuat dengan inovasi di dalam teknologi pendidikan kerana ia menekankan proses penyebaran maklumat setelah berlaku inovasi. Menurut Rogers (1995), sesuatu idea atau inovasi baru amat sukar diterima walaupun idea tersebut mempunyai banyak kelebihan. Ini menyebabkan kajian tentang pendifusian inovasi diberi tumpuan untuk mengenal pasti punca penerimaan atau penolakkan sesuatu inovasi.

Teori Pendifusian Rogers (1995)

Teori Pendifusian oleh Rogers sering digunakan sebagai kerangka penyelidikan oleh penyelidik di seluruh dunia. Dalam teorinya, beliau menerangkan tentang proses pendifusian, kategori penerima, sifat-sifat inovasi dan kadar pendifusian. Teori ini memberi penekanan bahawa di samping mereka bentuk sesuatu inovasi yang baik, ahli teknologi pendidikan juga perlu memikirkan tentang cara untuk mendifusikan inovasi tersebut. Perkara utama yang perlu dititikberatkan dalam pendifusian inovasi ialah bagaimana sesuatu inovasi itu diterima dan mengapa penerimaan inovasi ini berlaku pada kadar yang berbeza.

Rajah 2.1 : Teori Pendifusian Inovasi Rogers

Proses pendifusian mengikut Teori Rogers terbahagi kepada lima langkah iaitu pengetahuan, pujukan, membuat keputusan, pelaksanaan dan pengesahan. Berdasarkan model tersebut, seseorang yang bakal menerima sesuatu inovasi perlu memahami dengan lebih mendalam tentang inovasi tersebut serta cara penggunaannya sebelum membuat keputusan untuk menerima inovasi tersebut atau sebaliknya. Teori ini amat penting kerana ia menyatakan bahawa proses pendifusian bukanlah satu perkara yang muktamad malah ia merupakan satu proses berterusan yang boleh dikaji, dipermudahkan dan disokong.

Menurut Rogers (1995) penerimaan seseorang individu terhadap inovasi yang diperkenalkan adalah tidak sama. Penerimaan terhadap inovasi banyak dipengaruhi oleh ciri-ciri peribadi serta latar belakang individu itu sendiri akan sejauh mana bersedia untuk menerima inovasi. Menurut Rogers (2003) dalam masyarakat di mana inovasi diperkenalkan biasanya ada lima tahap penerima inovasi iaitu innovators (2.5%), early adopters (13.5%), early majority (34%), late majority (34%) dan laggards (16%).

Model-model

Berikut merupakan model-model yang digunakan dalam kajian untuk melihat pengaruh faktor-faktor pendifusian ke atas penerimaan teknologi perisian kursus. Technology Acceptance Model merupakan model utama yang dirujuk dalam kajian ini manakala Model Theory of Reasoned Action dan Model Theory of Planned Behavior digunakan untuk menyokongnya.

Theory of Reasoned Action

Fishbein dan Ajzen (1975) merupakan pengasas kepada Model Theory of Reasoned Action (TRA). Model ini adalah asas kepada perhubungan di antara dua komponen kepercayaan iaitu persepsi terhadap kebergunaan (perceived usefulness) dan persepsi terhadap kesenangan mengguna (perceived ease of use). Berdasarkan Model TRA, niat menjadi penentu kepada berlakunya sesuatu kelakuan. Di mana, kepercayaan individu akan mempengaruhi sikap individu dan seterusnya membentuk niat yang akan menghasilkan sesuatu kelakuan.

Rajah 2.2: Theory of Reasoned Action

Model ini menjelaskan bahawa sikap seseorang terhadap kelakuan dan norma subjektif akan menentukan niat kelakuan. Sikap seseorang terhadap kelakuan merujuk kepada penilaiannya bahawa sama ada pelaksanaan sesuatu kelakuan adalah baik atau buruk. Manakala norma subjektif pula menunjukkan pengaruh sosial yang mempengaruhi seseorang sama ada melaksanakan sesuatu kelakuan atau tidak.

Model TRA juga menegaskan bahawa sikap merupakan satu fungsi daripada kepercayaan. Pada umumnya, seseorang individu yang mempercayai bahawa pelaksanaan sesuatu kelakuan akan membawa hasil positif dan ini akan menyebabkannya menunjukkan satu sikap yang baik ke arah pelaksanaan kelakuan tersebut dan sebaliknya (Fishbein dan Ajzen, 1975). Model TRA ini telah menjadi asas kepada kewujudan Model Theory of Planned Behavior dan Model Technology Acceptance Model.

Theory of Planned Behavior

Theory of Planned Behavior (TPB) diasaskan oleh Ajzen dan Madden (1986) Mereka telah mengubahsuai model TRA dengan memasukkan satu variabel tambahan iaitu persepsi kawalan kelakuan (perceived behavioral control). Persepsi kawalan kelakuan merujuk kepada tanggapan seseorang individu terhadap halangan dalaman atau halangan luaran yang dihadapi semasa melakukan sesuatu kelakuan (Ajzen, 1985).

Rajah 2.2: Theory of Planned Behavior

Model ini menjelaskan bahawa pengawalan kelakuan secara langsung mempengaruhi niat untuk melaksanakan sesuatu kelakuan dan kemungkinan juga secara langsung mempengaruhi kelakuan dalam situasi di mana pengguna berniat untuk melaksanakan sesuatu kelakuan tetapi ia dihalang daripada melakukan tindakan tersebut. Mengikut model TPB, kelakuan seseorang individu dapat dijelaskan melalui niat kelakuan seseorang itu di mana ia dipengaruhi juga oleh sikap, norma subjektif dan persepsi kawalan kelakuan.

Technology Acceptance Model

Technology Acceptance Model (TAM) dibina oleh Davis (1986) dan dipekenalkan oleh Davis et al. (1989). Model ini merupakan adaptasi daripada Model Theory of Reasoned Action. Dalam TAM terdapat dua konstruk yang penting dalam penerimaan Teknologi Maklumat iaitu persepsi terhadap kebergunaan (perceived usefulness) dan persepsi terhadap kesenangan mengguna (perceived ease-of-use). TAM menekankan bahawa niat untuk menggunakan sesuatu sistem adalah ditentukan oleh kedua-dua persepsi terhadap kebergunaan dan persepsi terhadap kesenangan mengguna.

Rajah 2.3: Technology Acceptance Model

Persepsi terhadap kebergunaan dijelaskan sebagai individu merasakan teknologi maklumat mudah dikendalikan untuk melaksanakan tugas-tugas yang diberikan di tempat kerja. Manakala persepsi terhadap kesenangan mengguna pula menjelaskan individu mempunyai persepsi bahawa penggunaan teknologi maklumat di tempat kerja akan meningkatkan kualiti kerja dan produktiviti. Kedua-dua persepsi ini akan mempengaruhi sikap individu terhadap penggunaan sesuatu teknologi manakala sikap dan persepsi terhadap kebergunaan akan meramalkan niat perlakuan individu.

Selain itu, persepsi terhadap kesenangan mengguna akan mempengaruhi persepsi terhadap kebergunaan. Peningkatan pengantaraan di antara pengguna akan memberi kesan yang kuat terhadap kedua-dua persepsi ini. Tambahan pula, Davis (1986) telah menyatakan bahawa persepsi terhadap kesenangan mengguna akan memberi kesan positif kepada penggunaan teknologi. Dalam TAM, persepsi terhadap kebergunaan adalah faktor utama manakala persepsi terhadap kesenangan mengguna adalah faktor kedua menjadi penentu kepada penggunaan teknologi (Saadé & Bahli, 2005).

Faktor-faktor yang menjadi halangan kepada Pendifusian Inovasi

Pakar bidang pendifusian inovasi mendapati bahawa tidak terdapat satu faktor khas atau sekumpulan faktor yang boleh digunakan untuk menerangkan kekurangan penerimaan dan penggunaan sesuatu inovasi. Pakar teknologi pendidikan telah menjalankan beberapa kajian untuk mengenal pasti faktor-faktor yang mempengaruhi pendifusian sesuatu inovasi teknologi.

Rogers (2001) telah menjalankan satu kajian dengan menggunakan kaedah temu bual untuk mengenal pasti halangan-halangan yang dihadapi semasa pendifusian sesuatu teknologi. Antara halangan yang dikenal pasti ialah keperluan staf sokongan bahagian teknikal, keperluan masa yang lebih, keperluan latihan dan kekurangan perkongsian maklumat. Morris (2001) pula mendapati faktor-faktor kekurangan bantuan teknikal, kekurangan peralatan, masa terhad, kekurangan kemahiran komputer dan ketiadaan sokongan daripada pihak pengurusan menjadi halangan kepada guru semasa menerima dan mengintergrasikan teknologi dalam pengajaran.

Kajian oleh Anderson, Varnhagen dan Campbell (1998) ke atas 557 orang guru di mana telah mengenal pasti sembilan faktor yang menjadi penghalang kepada penerimaan bahan teknologi iaitu kekurangan kewangan, kekurangan masa, infrastruktur, perkakasan komputer, sokongan pihak pengurusan, pengetahuan tentang cara menggunakan teknologi dalam pengajaran, capaian kepada perisian, kekurangan latihan dan sokongan dan maklumat tentang teknologi yang sedia ada. Kajian tinjauan oleh Beggs (2000) ke atas 348 orang guru mendapati terdapat hubungan yang signifikan antara gaya pengajaran guru, teknologi yang sesuai, dan sokongan pihak pengurusan dengan penerimaan dan penggunaan teknologi. Ini menjelaskan bahawa peningkatan dalam faktor-faktor tersebut turut menyebabkan peningkatan dalam tahap penerimaan dan penggunaan teknologi.

Mohd. Sarif (1998) yang telah mengkaji tentang faktor-faktor yang menjadi penghalang kepada pendifusian teknologi pendidikan di kalangan guru Sekolah Menengah Sains di pantai timur semenanjung Malaysia. Mohd. Sarif telah menguji empat faktor iaitu individu, birokratik, ekonomi dan logistik. Dapatan menunjukkan faktor-faktor tersebut tidak menjadi halangan kepada pendifusian dan penerimaan teknologi pendidikan.

Faktor-faktor Pendifusian Inovasi

Terdapat enam faktor yang dianggap mempunyai pengaruh yang kuat dengan proses pendifusian inovasi. Faktor-faktor ini dipilih berdasarkan Teori Rogers dan TAM, TRA dan TPB yang berkaitan dengan proses inovasi dan difusi yang merangkumi tiga perspektif iaitu perspektif penerima, perspektif inovasi dan perspektif persekitaran.

Perspektif Penerima

Perspektif penerima merujuk kepada ciri-ciri peribadi seseorang individu dari segi pengalaman dan efikasi kendiri.

Pengalaman

Pengalaman didefinisikan sebagai tahap pengetahuan dan kebolehan sedia ada pengguna dalam menggunakan sesuatu inovasi. Bandura (1997) telah menegaskan bahawa pengalaman mungkin dapat mengurangkan kebimbangan dan menggalakkan individu untuk mengubah sikap atau tingkah lakunya.

Anderson, Varnhagen dan Campbell (1998) mendapati guru teknologi yang menggunakan pelbagai program komputer lebih mahir dan mempunyai pengalaman yang banyak berbanding guru lain. Stone dan Henry (2003) menyatakan bahawa pengalaman yang positif akan menyebabkan seseorang pengguna lebih yakin apabila menggunakan inovasi yang hampir serupa. Dengan kata lain, pengalaman lepas yang positif akan meningkatkan keyakinan terhadap sesuatu inovasi, manakala pengalaman negatif akan menyebabkan keyakinan terhadap sesuatu inovasi semakin berkurangan. Kajian oleh Ndubisi (2004) menunjukkan bahawa pengalaman menggunakan komputer mempunyai kaitan secara tidak langsung dengan keinginan seseorang menerima teknologi baru.

Dalam konteks kajian ini, pengalaman dilihat dari aspek tahap pengetahuan dan kebolehan sedia ada pengguna dalam menggunakan perisian kursus multimedia interaktif dalam pengajaran dan pembelajaran. Pengetahuan tentang teknologi dan pengalaman yang menarik akan meningkatkan sikap positif guru terhadap penggunaan perisian kursus multimedia interaktif dalam pengajaran, seterusnya mengurangkan atau menghilangkan kebimbangan terhadap penggunaan teknologi (Bruce, 2005).

Efikasi Kendiri

Menurut Teori Efikasi Kendiri Bandura (1997), pertimbangan efikasi kendiri adalah berdasarkan kepada beberapa jenis maklumat. Antaranya ialah pelaksanaan prestasi, pengalaman, pujukan lisan dan kebangkitan emosi. Bandura (1997) mendapati efikasi kendiri yang positif mampu menggalakkan pembelajaran kemahiran-kemahiran baru, manakala efikasi kendiri yang negatif boleh mewujudkan halangan-halangan kepada penerokaan perkara baru.

Dapatan kajian oleh Lin dan Jeffres (1998) menunjukkan guru yang mempunyai efikasi kendiri yang rendah mempunyai tahap kebimbangan yang tinggi terhadap komputer. Kesan ini akan meningkatkan halangan-halangan untuk seseorang pendidik mempelajari teknologi baru. Di samping itu, Pajares (2002) mendapati perasaan rasa selesa atau bimbang terhadap komputer boleh mempengaruhi keyakinan individu terhadap komputer. Justeru, tahap keyakinan memainkan peranan sebagai penentu yang signifikan dalam menentukan keinginan untuk mempelajari kemahiran teknologi.

Bennett dan Bennett (2003) telah mengkaji tentang ciri-ciri teknologi yang boleh mempengaruhi penerimaan dan penggunaan teknologi tersebut dalam pengajaran dan pembelajaran. Berdasarkan dapatan kajian, Bennett dan Bennett merumuskan bahawa kekurangan bajet dan kelemahan teknologi bukan lagi menjadi faktor utama penerimaan sesuatu teknologi. Mereka mendapati kekurangan keyakinan guru terhadap kemampuan teknologi dan kurangnya kesediaan guru dalam menerima sesuatu teknologi merupakan faktor penting yang menentukan penerimaan dan penggunaan sesuatu teknologi baru dalam pengajaran dan pembelajaran.

Efikasi Guru Terhadap Penggunaan ICT dalam P&P

Perspektif Inovasi

Perspektif Inovasi merujuk kepada ciri-ciri inovasi itu sendiri dari segi kelebihan relatif dan kerumitan dalam penggunaannya.

Kelebihan Relatif

Kelebihan relatif ditakrifkan sebagai salah satu ciri-ciri inovasi yang dianggap lebih baik, mampu menggantikan teknologi yang sedia ada serta menjadi penyelesaian kepada perkara-perkara lain (Rogers, 2003). Tahap kelebihan relatif sesuatu inovasi sering dikaitkan dengan aspek keuntungan, prestij sosial atau faedah lain. Kelebihan relatif guru dijangka dapat meningkatkan tahap penerimaan dan penggunaan sesuatu inovasi. Rogers (2001) merumuskan bahawa kelebihan relatif sesuatu inovasi akan mempengaruhi kadar pendifusian secara positif.

Butler dan Sellbom (2002) telah menjalankan kajian tinjauan ke atas 410 orang guru untuk mengenal pasti faktor-faktor yang mempengaruhi guru menerima teknologi pengajaran dan kekangan-kekangan yang dihadapi semasa menerima sesuatu teknologi pengajaran. Dapatan kajian Butler dan Sellbom (2002) menunjukkan kelebihan teknologi itu sendiri menjadi faktor yang penting dalam membantu guru membuat keputusan menerima dan menggunakan sesuatu teknologi.

Kerumitan

Kerumitan dimaksudkan kesukaran untuk memahami dan menggunakan sesuatu inovasi teknologi pendidikan (Rogers, 2003). Sesuatu inovasi yang dianggap rumit untuk diguna akan menghadapi pelbagai halangan dalam usaha untuk menggalakkan penggunaan dan proses pendifusian berbanding inovasi yang lebih mudah untuk dipelajari. Oleh itu, Rogers (2003) merumuskan bahawa tahap kerumitan sesuatu inovasi akan memberikan kesan yang negatif ke atas tahap pendifusian sesuatu inovasi.

Dalam konteks kajian ini, kerumitan penggunaan perisian kursus akan dikaji. Lin dan Jeffres (1998) mendapati wujud hubungan yang positif antara kemudahan penggunaan dan tingkah laku. Lin dan Jeffres (1998) mendapati kemudahan penggunaan menjadi faktor penentu penggunaan sesuatu inovasi. Ini menjelaskan bahawa sekiranya penggunaan perisian kursus menjadi kompleks dan menyukarkan guru, ia akan memberi kesan kepada tahap penggunaannya.

Perspektif Persekitaran

Perspektif Persekitaran pula merujuk kepada persepsi dan sokongan persekitaran dari segi sokongan dan masa.

Sokongan

Farquhar dan Surry (1997) berpendapat gabungan faktor-faktor organisasi dan faktor-faktor penerimaan sesuatu inovasi oleh individu amat mempengaruhi proses pendifusian dan penggunaan sesuatu produk pendidikan. Farquhar dan Surry (1997) menyatakan bahawa kekurangan sokongan persekitaran boleh menjadi penghalang utama kejayaan sesuatu pendifusian inovasi.

Groves dan Zemel (2000) mendapati aspek sokongan seperti latihan tentang cara penggunaan sesuatu teknologi, maklumat atau bahan-bahan yang boleh didapati, dan sokongan pihak pentadbiran adalah faktor-faktor yang penting yang mempengaruhi penggunaan teknologi dalam pendidikan.

Morris (2001) pula mendapati kekurangan sokongan teknikal, tidak mempunyai kelengkapan yang mencukupi atau perisian dan kekurangan guru atau sokongan pentadbiran adalah antara faktor-faktor yang menghalang guru dalam mengaplikasikan teknologi pendidikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Askar dan Usluel (2005) telah menjalankan temu bual ke atas 27 orang guru untuk mengenal pasti faktor-faktor yang mempengaruhi pendifusian Komputer di sekolah. Hasil temu bual menunjukkan faktor kekurangan sokongan dari segi penyediaan kemudahan perkakasan dan perisian, peruntukan bajet untuk membeli peralatan teknologi dan latihan kepada guru menjadi penghalang utama dalam mendifusikan teknologi komputer di sekolah.

Masa

Kajian oleh Seminoff dan Wepner (1997) menunjukkan bahawa guru kurang menggunakan teknologi dalam pengajaran kerana mereka tidak diberikan masa untuk membuat persediaan. Dalam kajian ini, faktor masa akan dikaji untuk melihat pengaruh masa dan penerimaan perisian kursus multimedia interaktif dalam pengajaran. Dalam kajian mengenai faktor-faktor yang mempengaruhi penggunaan teknologi dan halangan-halangan untuk penggunaan teknologi, Groves dan Zemel (2000) mendapati masa interaksi memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi penggunaan sesuatu inovasi kerana guru memerlukan masa untuk mempelajarinya.

Norhayati (2000) dalam kajiannya ke atas 15 orang guru yang mengajar komputer dalam pendidikan mendapati guru menghadapi masalah kekangan masa untuk menyediakan bahan pengajaran menggunakan komputer kerana dibebani dengan masa mengajar yang penuh di samping tugas-tugas lain yang dipertanggungjawabkan. Braak (2001) yang telah mengkaji tentang faktor yang mempengaruhi penggunaan teknologi dalam kalangan guru sekolah menengah mendapati kekurangan masa merupakan antara faktor utama yang menyebabkan kurangnya penerimaan dan penggunaan teknologi Computer Mediated Communications (CMC) dalam pengajaran dan pembelajaran.

Oleh yang demikian, guru perlu diberi masa yang mencukupi untuk membuat persediaan mengajar dengan menggunakan perisian kursus multimedia interaktif. Beban tugas guru yang mengajar mata pelajaran Matematik, Sains dan Teknologi perlu dikurangkan supaya mereka mempunyai masa untuk meneroka inovasi baru dan mengaplikasikannya dalam pengajaran dan pembelajaran.

Hubungan antara Penerimaan Inovasi dengan faktor Demografi responden dan Lokasi Sekolah

PELAN STRATEGIK MENINGKATKAN PENCAPAIAN PELAJAR SEKOLAH LUAR BANDAR DALAM SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS

Dalam kenyataan akhbar, Berita Harian bertarikh 30 Mei 2005, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr. Ahamad bin Sipon, menyatakan dapatan Kajian Tahap Kefahaman Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris yang dijalankan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia menunjukkan perbandingan prestasi mengikut lokasi mendapati pelajar sekolah menengah (Tingkatan satu dan dua) dan sekolah rendah (Tahun satu dan dua) di kawasan bandar mengatasi luar bandar. Menurut beliau lagi, analisis dapatan juga menunjukkan sekolah bandar mengatasi sekolah luar bandar dalam pencapaian Matematik dan Sains.

Perbezaan pencapaian antara pelajar bandar dan luar bandar ini bukanlah sesuatu yang di luar jangkaan kerana perbezaan ini telah pun wujud sebelum PPSMI dilaksanakan. Dengan pembekalan peralatan ICT telah dapat menyamaratakan kemudahan ini tanpa membezakan lokasi sekolah-sekolah. Walau bagaimanapun, disebabkan ketidak samaan dari segi persekitaran serta kemudahan komunikasi, maka masih terdapat jurang antara pencapaian sekolah bandar dan luar bandar. Sebahagian pelajar ini pula banyak bergantung kepada guru, rakan dan bahan sokongan di sekolah sahaja untuk meningkatkan kefahaman mereka. Keadaan sosio-ekonomi dan lokasi menyebabkan mereka sukar mendapat tunjuk ajar tambahan.

Inovasi Perisian Kursus Multimedia Interaktif

Dalam sistem pendidikan Malaysia, pelbagai inovasi yang berbentuk program dan produk telah diperkenalkan dari semasa ke semasa untuk meningkatkan lagi kualiti pengajaran dan pembelajaran. Perisian kursus multimedia interaktif juga merupakan salah satu inovasi baru yang diperkenalkan dalam pengajaran dan pembelajaran. Pada tahun 2002, kerajaan telah mengisytiharkan polisi baru di mana Bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran mata pelajaran Sains, Matematik dan Teknologi di sekolah-sekolah (Chan, 2002).

Strategi yang diambil oleh KPM untuk menjayakan program ini ialah dengan menyediakan kemudahan prasarana serta meningkatkan profesionalisme guru terutama dalam pengajaran dalam Bahasa Inggeris. Penggunaan kemudahan dan peralatan ICT merupakan satu pendekatan penting dalam pengajaran dan pembelajaran bagi Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris. Hasratnya adalah kemudahan ICT akan membawa perubahan dalam cara guru mengajar dalam bilik darjah di samping menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih menarik dan berkesan (KPM, 2002).

Bagi memudahkan guru menguasai kemahiran komunikasi dan konsep berhubung mata pelajaran tersebut secara berkesan dalam Bahasa Inggeris, KPM telah membentuk jawatankuasa kerjanya dan bekerjasama dengan pihak swasta untuk menghasilkan beberapa siri perisian kursus berkaitan mata pelajaran untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran di semua sekolah.

Pada tahun 2004, fasa kedua pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dilaksanakan. Kelengkapan peralatan dan perisian disediakan. Buku teks didatangkan bersama CD-ROM, komputer riba, LCD projektor, skrin dan troli ditambah mengikut keperluan sekolah dan enrolmen pelajar. Guru juga didedahkan dengan kaedah pengajaran terbaru, cara-cara menggunakan komputer dan perisian kursus dan mengajar dalam Bahasa Inggeris. Kursus Bahasa Inggeris juga diberikan kepada guru untuk menyokong penguasaannya.

Penggunaan Perisian kursus dalam Pengajaran dan Pembelajaran

Penggunaan perisian kursus juga dikatakan dapat menjadi medium komunikasi yang positif dan efektif kerana melaluinya teks, audio, video serta animasi yang pelbagai warna dan corak mampu dipaparkan di atas sebuah skrin pada masa yang sama (Putt & Henderson, 1996). Penggunaan perisian kursus multimedia dalam bidang pendidikan juga membolehkan maklumat disalurkan untuk kegunaan pelajar. Maklumat tersebut pula dapat dicapai serta digunakan mengikut masa dan tempat yang ditetapkan oleh pelajar itu sendiri (Hamidah, 2000).

Kajian oleh Gayle (1993) mendapati penggunaan teknologi multimedia mendapat maklum balas yang positif daripada pelajar dalam pelbagai disiplin ilmu dan pelbagai peringkat usia. Ia juga dapat menyokong pembelajaran yang bersifat menyelesaikan masalah, membentuk dan menguji hipotesis, penilaian berasaskan keupayaan serta meningkatkan kreativiti.

Perisian kursus berupaya menanggani masalah dalam pembelajaran dengan menyelitkan unsur-unsur yang melibatkan pelbagai deria seperti audio, video, animasi, teks dan grafik ke dalam satu medium komunikasi. Pembangunan perisian kursus yang berunsurkan multimedia yang menekankan unsur-unsur pembelajaran interaktif juga membawa persepsi baru dalam era penggunaan komputer dalam bidang pendidikan. Kebanyakan aplikasi multimedia interaktif mula mengambil kira teori-teori pembelajaran ataupun yang berkaitan dengannya (Hamidah, 2000).

Menurut Norizan dan Seng Piew (2002) penggunaan elemen-elemen multimedia dalam perisian kursus dapat membentuk kefahaman serta kemahiran seseorang pelajar pada peringkat yang lebih tinggi. Ini memandangkan pendekatan berasaskan multimedia yang menyediakan maklumat yang lebih kepada pelajar dapat membentuk corak ingatan yang lebih kompleks. Ini seterusnya membantu proses capaian maklumat tersebut pada masa hadapan apabila diperlukan dalam menyelesaikan masalah atau menangani keperluan orang lain.

Perisian kursus yang dihasilkan perlu memenuhi keperluan pendidikan. Ia harus mengambil kira tentang kepelbagaian kebolehan murid dan guru. Romiszowski (1998) berpendapat perisian kursus yang dihasilkan juga perlu mencabar kognitif, menarik, memotivasikan pelajar untuk belajar dan menggalakkan penglibatan yang aktif. Penggunaan perisian kursus perlu sesuai dalam pelbagai persekitaran pembelajaran (Eliane, 2001).

Perisian kursus juga perlu menggabungjalinkan elemen-elemen seperti teks, grafik, animasi, bunyi dan video sebagai rangsangan bagi menarik perhatian dan minat pelajar terhadap isi pelajaran yang disampaikan. Pelbagai aktiviti pengukuhan tambahan harus disediakan untuk membolehkan pelajar yang mempunyai pelbagai kecerdasan dan gaya pembelajaran untuk mencuba dan seterusnya memperkukuhkan lagi kefahaman konsep yang telah dipelajari (Abd. Aziz & Azlida, 2000).

Ia juga harus dibina supaya dapat melayan setiap individu belajar berdasarkan kebolehan pelajar tersebut. Pelajar akan mengalami pengalaman pembelajaran yang berbeza berdasarkan prestasinya di dalam sesuatu konsep atau isi pelajaran (Norizan & Seng Piew, 2002). Pelajar tersebut perlulah menguasai terlebih dahulu konsep atau isi pelajaran yang tertentu sebelum dibenarkan mempelajari konsep atau isi pelajaran pada tahap yang lebih tinggi. Pelajar berpeluang untuk mengulangi sesuatu konsep atau isi pelajaran pada bila-bila masa atau sebanyak mana sekalipun tanpa perlu merasa bimbang komputer akan merasa jemu untuk melayannya.

Faedah Penggunaan Perisian Kursus

Dapatan kajian lepas menunjukkan bahawa terdapat beberapa kelebihan penggunaan bahan pengajaran multimedia berbanding dengan kaedah kuliah dan penggunaan modul bercetak. Antaranya ialah ia merangkumi beberapa media teknologi seperti teks yang dapat menerangkan sesuatu secara lisan, grafik dapat memberi gambaran dan cara untuk berhubung, muzik memberi kesan terhadap personaliti dan mood seseorang, manakala video memaparkan perkembangan yang berlaku di sekeliling dan komputer pula berkeupayaan menyimpan maklumat yang besar dan banyak untuk dicapai (Romizowski, 1998).

Di samping itu, Gerlio dan Jausovec (1999) berpendapat kesemua gabungan atribut media ini mampu membentuk komunikasi yang berkesan, meningkatkan tahap kefahaman pembelajaran, memberangsangkan proses pembelajaran, menarik dan mengekalkan tumpuan pelajar dan memudahkan maklumat disimpan di dalam ingatan jangka panjang komputer itu sendiri.

Interaktiviti berlaku apabila pengguna berinteraksi dengan media dengan cara memberi arahan, maklumat dan menerima maklum balas. Interaktiviti di dalam Pembelajaran Berbantukan Komputer (PBK) adalah di dalam bentuk maklum balas, pengajaran bukan linear, pilihan yang banyak, serta sistem adaptasinya (Abdul Rahim, 1997). Pelajar juga boleh melakukan percubaan secara berulangkali atau meneroka ke bahagian lain, sama ada di bawah nasihat pengajar atau berdasarkan masalah yang didiagnosiskan oleh program (Eliane, 2001).

Putt dan Henderson (1996) menegaskan bahawa interaksi memberi kesan yang mendalam di dalam pembelajaran sekaligus meningkatkan keupayaan pelajar untuk memahami sesuatu dengan lebih cepat dan menyimpan maklumat di dalam ingatan jangka panjang. Dalam erti kata yang lain, penggunaan komputer multimedia menyediakan cara penyampaian yang lebih fleksibel di mana pengajaran dapat dirancang dan diubah dari semasa ke semasa tanpa bergantung kepada guru semata-mata (Abd. Aziz & Azlida, 2000). Bagi memastikan perisian kursus dapat menyelesaikan sesuatu masalah pengajaran dan pembelajaran, penilaian formatif terhadap bahan pengajaran multimedia perlu dijalankan dengan rapi. Malah dalam reka bentuk pengajaran, aspek penilaian diberi penekanan dan perhatian yang khusus dalam membangunkan bahan pengajaran multimedia tersebut.

Kekangan Penggunaan Perisian Kursus

Penggunaan bahan pengajaran multimedia dalam proses pengajaran dan pembelajaran telah mendapat perhatian khusus terutama dengan wujudnya program PPSMI. Pelaksanaan program PPSMI telah menyebabkan pembinaan dan penyediaan prasarana makmal komputer serta pengajaran mata pelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris. Ini bertambah lagi dengan penyerahan komputer bimbit dan peralatan sokongan ke sekolah-sekolah di seluruh negara (Azizah, 2006).

Namun demikian terdapat sebahagian besar guru masih lagi menggunakan kaedah tradisional (chalk & talk) serta kaedah penggunaan modul-modul bercetak dalam proses pengajaran dan pembelajaran (Norizan & Seng Piew, 2002). Ini mungkin disebabkan kekangan dari segi kelengkapan fizikal untuk melaksanakan proses Pengajaran Berbantukan Komputer (PBK) atau kemampuan kemahiran guru dalam penggunaan bahan multimedia interaktif dan peralatan ICT itu sendiri.

Menurut Hamidah (2000), dari segi pengurusan isi kandungan, paparan maklumat dan unsur-unsur motivasi, didapati perisian kursus multimedia lebih baik berbanding dengan kaedah tradisional dan kaedah penggunaan modul-modul bercetak. Namun begitu, kegagalan menitikberatkan aspek reka bentuk pengajaran dalam pembangunan perisian kursus multimedia menyebabkan bahan yang direka tidak memberi impak kepada keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

Pembangunan perisian multimedia memakan masa yang agak panjang dan memerlukan kos yang tinggi. Perkakasan yang digunakan mestilah dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Guru perlu sentiasa didedahkan dengan perubahan baru dalam bidang teknologi pendidikan terutamanya aspek-aspek yang berkaitan dengan reka bentuk bahan pengajaran (Putt & Henderson, 1996). Pembinaan bahan pengajaran multimedia perlulah dapat mengatasi masalah yang timbul daripada penggunaan bahan pengajaran yang konvensional. Dalam konteks di Malaysia, pembangunannya juga mestilah memenuhi inspirasi Falsafah Pendidikan Negara di samping kesesuaian dengan budaya dan fahaman masyarakat majmuk di Malaysia (Asiah Abu Samah, 1990).

Walaupun kerap dinyatakan bahawa perisian kursus menyediakan peluang interaktiviti yang banyak antara pengguna dan perisian. Tetapi keberkesanan pembelajaran bukan ditentukan oleh kuantiti interaktiviti malah ditentukan oleh kualiti interaktiviti yang disediakan. Multimedia interaktif adalah suatu pembaharuan di dalam cara berkomunikasi dalam pembelajaran. lanya akan hanya berkesan sekiranya mempunyai sistem yang membolehkan pengajaran disesuaikan dengan keupayaan dan keperluan individu (Gayle & Uma, 1996).

Penerimaan Perisian Kursus

Penerimaan perisian kursus merupakan variabel bersandar dalam kajian ini. Penerimaan akan diukur berdasarkan enam peringkat yang dicadangkan oleh Moersch (1995). Menurut Moersch (1995), seorang guru akan bergerak dari satu peringkat ke satu peringkat berdasarkan penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran. Peningkatan penggunaan teknologi dalam pengajaran akan menyebabkan guru mencapai peringkat yang lebih tinggi dan pengajaran berasaskan guru akan berubah kepada pengajaran berasaskan pelajar.

Peringkat Penerimaan Teknologi (Moersch, 1995)

Peralatan berasaskan teknologi diintegerasi dalam bentuk mekanikal dengan menyediakan konteks yang membolehkan para pelajar memahami sesuatu konsep, tema, atau proses dengan lebih tepat. Pakej bahan-bahan teknologi digunakan oleh guru dalam pengajaran dan pembelajaran. Teknologi diterima sebagai satu alat untuk mengenal pasti dan menyelesaikan masalah-masalah yang berkaitan sesuatu tema atau konsep.

Akses kepada teknologi adalah menjangkaui bilik darjah. Guru-guru menggalakkan penggunaan teknologi dalam kalangan pelajar supaya dapat mengembangkan pengalaman pelajar melalui penyelesaian masalah, penyelesaian (resolution) isu, dan aktiviti pelajar yang berteraskan sesuatu tema atau konsep yang utama.

Teknologi diterima sebagai satu proses, produk, dan alat yang membantu pelajar menyelesaikan masalah-masalah yang dikenal pasti dalam dunia sebenar. Dalam konteks ini, teknologi bertindak sebagai satu medium yang membantu pertanyaan maklumat, penyelesaian masalah, dan pembangunan produk. Para pelajar mempunyai pemahaman tentang teknologi yang boleh digunakan untuk menyelesaikan sesuatu tugas.

Kerangka Konseptual Kajian

Pembinaan kerangka konseptual kajian adalah berasaskan kepada Teori Pendifusian oleh Rogers, Technology Acceptance Model, Model Theory of Reasoned Action dan Model Theory of Planned Behavior.

Pemilihan faktor-faktor pengalaman dan efikasi kendiri yang mewakili perpektif penerima adalah berdasarkan kepada Model Theory of Reasoned Action dan Model Theory of Planned Behavior. Model-model ini menjelaskan bahawa pengalaman guru dan efikasi kendiri merupakan faktor-faktor penting yang menyumbang kepada penerimaan dan penggunaan sesuatu inovasi. Ia bergantung kepada individu itu sendiri untuk membuat keputusan sama ada untuk menerima atau menolak sesuatu inovasi.

Manakala faktor-faktor kerumitan dan kelebihan relatif dipilih berdasarkan Technology Acceptance Model. Kedua-dua faktor ini dikatakan mempunyai pengaruh yang kuat ke atas penerimaan dan penggunaan sesuatu inovasi yang berasaskan teknologi. Model ini menekankan bahawa peringkat penerimaan sesuatu inovasi adalah bergantung sepenuhnya kepada ciri-ciri inovasi itu sendiri.

Faktor-faktor bagi perspektif persekitaran pula dipilih berdasarkan Model Pendifusian oleh Rogers. Model Pendifusian menjelaskan bahawa persepsi dan sokongan persekitaran dari segi sokongan dan masa amat mempengaruhi pendifusian sesuatu inovasi. Guru di sekolah memerlukan sokongan pentadbiran dan teknikal serta masa yang secukupnya untuk menggunakan sesuatu inovasi.

Kesimpulan

Secara kesimpulannya, dapat dilihat bahawa beberapa kajian telah dijalankan untuk mengenal pasti faktor-faktor yang boleh mempengaruhi pendifusian teknologi dalam persekitaran pendidikan. Kebanyakan kajian telah menggunakan Model Pendifusian Rogers sebagai model asas. Berdasarkan kepada Teori Rogers dan kajian-kajian lepas, enam faktor iaitu pengalaman, efikasi kendiri, kelebihan relatif, kerumitan, sokongan dan masa dikenal pasti sebagai faktor-faktorl penting yang boleh menyumbang kepada penerimaan dan penggunaan perisian kursus.

Pendahuluan

Kajian ini dijalankan untuk mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi penerimaan perisian kursus dalam kalangan guru tingkatan satu yang mengajar subjek Matematik di Sekolah Menengah Kebangsaan Harian di negeri Kedah. Bab ini akan membincangkan tentang reka bentuk kajian, populasi dan sampel, instrumen kajian, kajian rintis, cara analisis data serta kesahan atau kebolehpercayaan soal selidik.

REKA BENTUK KAJIAN

Reka bentuk kajian dirancang untuk mencari jawapan kepada persoalan kajian yang berpandukan kepada objektif kajian yang telah disenaraikan. Menurut Kerlinger (1973), reka bentuk kajian adalah bertujuan mencari maklumat dan mengawal varians. Oleh itu, satu reka bentuk kajian yang teguh adalah diperlukan dalam membuat kajian agar maklumat yang diperolehi boleh digunakan untuk menjawab persoalan kajian.

Fokus kajian ini menunjukkan penerimaan perisian kursus dalam kalangan guru. Secara khususnya, kajian ini akan mengukur pengaruh enam faktor yang mempengaruhi penerimaan perisian kursus dalam kalangan guru sekolah. Untuk mencapai objektif kajian ini, faktor-faktor tersebut dianalisis dengan data dikutip dari satu sampel guru.

Kajian ini menggunakan pendekatan tinjauan deskriptif untuk mengkaji ciri-ciri demografi dan faktor-faktor yang berkaitan (pengalaman, efikasi kendiri, kelebihan relatif, kerumitan, sokongan & masa) dan hubungannya dengan penerimaan perisian kursus dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik di sekolah menengah kebangsaan harian di negeri Kedah. Ini kerana menurut Mohd. Majid Konting (1998), kaedah deskriptif digunakan bagi mendapatkan maklumat tentang sesuatu peristiwa, perkembangan dan pengalaman yang sedang berlaku. Di samping itu, kaedah ini juga penting bagi mengenal pasti variabel-variabel yang berkaitan dengan sesuatu peristiwa, perkembangan dan pengalaman.

POPULASI DAN SAMPEL

Populasi kajian ini ialah guru Matematik yang mengajar tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan harian di negeri Kedah. Bilangan guru yang akan dipilih sebagai sampel kajian ialah lebih kurang 200 orang guru yang mengajar Matematik untuk pelajar tingkatan satu.

Sekolah menengah kebangsaan harian di negeri Kedah telah dikenal pasti dan dipilih untuk dijalankan penyelidikan ini. Menurut rekod Jabatan Pendidikan Negeri Kedah (2005) terdapat 141 buah sekolah menengah harian di negeri tersebut.

Berdasarkan data JPN negeri kedah terdapat 46 buah sekolah menengah kebangsaan bandar harian bandar dan 98 buah sekolah menengah kebangsaan harian luar bandar. Dalam kajian ini, 50 buah sekolah akan dipilih secara rawak. Pemilihan sampel telah dibuat rawak bagi memberikan peluang yang sama kepada individu untuk terlibat sebagai sampel kajian ini dalam mewakili populasi yang dikaji. Daripada jumlah tersebut 25 buah sekolah bandar dan 25 buah sekolah luar bandar akan dipilih. 4 orang guru yang mengajar Matematik untuk tingkatan satu akan dipilih dari setiap buah sekolah.

Rasional pemilihan mata pelajaran Matematik dalam kajian ini adalah kerana ia merupakan salah satu mata pelajaran yang abstrak. Sebelum ini, guru lebih berminat menggunakan kaedah konvensional. Selepas program PPSMI diperkenalkan pelbagai peralatan teknologi dan perisian kursus telah dibekalkan kepada guru Matematik untuk memudahkan pengajaran dalam bahasa Inggeris dan meningkatkan pemahaman pelajar.

Rasional pemilihan guru yang mengajar Matematik tingkatan satu adalah berdasarkan pada pelaksanaan awal di peringkat darjah satu, tingkatan satu dan tingkatan enam rendah. Memandangkan program ini telah dilaksanakan sejak tahun 2003, guru tersebut merupakan kumpulan perintis pertama yang telah menjalani pengajaran dan pembelajaran Matematik menggunakan Bahasa Inggeris. Mereka telah mempunyai pengalaman mengajar dengan menggunakan perisian kursus. Pelajar-pelajar yang memasuki tingkatan satu juga telah mempunyai pengalaman belajar menggunakan perisian kursus. Ini memudahkan guru untuk mengajar Matematik dengan menggunakan perisian kursus.

INSTRUMEN KAJIAN

Bagi meninjau penerimaan perisian kursus dalam pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan guru satu set soal selidik akan digunakan. Borang soal selidik ini dibentuk untuk tujuan mengumpul data dan maklumat mengenai hubungan faktor-faktor pendifusian ke atas penerimaan dan penggunaan perisian kursus dalam pengajaran dan pembelajaran dalam mata pelajaran Matematik.

Uma Sekaran (2003) menyatakan bahawa kaedah tinjauan menggunakan soal selidik sebagai alat kajian adalah bersifat logik, saintifik dan khusus. Ukuran secara kuantitatif dan kualitatif mudah diperoleh dan ini dapat membantu penyelidik dalam meninjau pandangan responden berkaitan nilai-nilai, pengalaman dan perhubungan sosial mereka. Oleh kerana soal selidik merangkumi bidang yang luas dan boleh dirangka dengan mudah dan jelas, responden boleh menjawabnya tanpa memerlukan kehadiran penyelidik Menerusi kaedah ini identiti responden akan dirahsiakan. Ini membolehkan responden menjawab soalan-soalan kajian tanpa sebarang kekangan atau keraguan.

Walau bagaimanapun, kaedah ini harus diawasi dengan betul. Jika tidak, kaedah ini boleh menghasilkan tahap pulangan yang rendah. Masalah lain juga mungkin akan timbul, antaranya jika ada soalan-soalan yang mungkin tidak difahami oleh responden dan kemungkinan jawapan yang diberikan bukannya datang daripada responden itu sendiri. Set soal selidik dalam kajian ini akan dibina berdasarkan sumber-sumber berikut:

Kesahan sesuatu alat ukur bermaksud sejauhmana alat ukur itu mengukur apa yang hendak diukur (Wiersma, 2000). Alat ukur dalam penyelidikan ini ialah soal selidik. variabel-variabel yang hendak diukur ialah pengalaman, efikasi kendiri, kelebihan relatif, kerumitan, sokongan dan masa yang mempengaruhi pendifusian dan peringkat penerimaan.

Kebolehpercayaan

Kebolehpercayaan sesuatu alat ukur ialah suatu indek ketekalan alat ukur tersebut, iaitu sejauhmana alat ukur itu dapat memberi ukuran yang sama atau serupa jika penyelidikan diulang (Wiersma, 2000). Dalam penyelidikan ini, kebolehpercayaan yang diukur dengan menggunakan penyataan-penyataan yang ditentukan dengan mencari pekali alpha dari data yang diperolehi dari kajian rintis.

KAJIAN RINTIS

Kajian Rintis dijalankan untuk memastikan bahasa yang digunakan dalam soal selidik adalah jelas, mudah difahami dan sesuai dengan tahap pelajar. Ini dilakukan dengan meneliti corak responden pelajar terhadap butir-butir dalam soal selidik.

Sekiranya terdapat bahagian-bahagian tertentu yang tidak dijawab atau tidak diberikan respon atau jawapan yang sesuai, bahagian-bahagian tersebut akan dipindah atau dibaiki. Selain itu, data yang diperolehi dari ujian rintis dianalisis dan kesesuaian penggunaan statistik ditentukan. Jika didapati penggunaan statistik tertentu tidak sesuai, statistik lain yang bersesuaian akan dikenal pasti.

ANALISIS DATA

Jawapan yang dikumpul dari guru yang mengajar Matematik tingkatan satu melalui borang soal selidik disemak oleh penyelidik dan akan dianalisis dengan menggunakan “Statistical Package for Social Science? (SPSS). Dalam Kajian ini, statistik deskriptif seperti peratusan, min dan kekerapan akan digunakan untuk membuat interpretasi terhadap aspek-aspek kajian. Pandangan yang dikemukakan oleh responden tentang penggunaan perisian kursus dalam pengajaran dan pembelajaran akan disenaraikan mengikut pendapat majoriti. Analsisi ujian-t, ANOVA dan MANOVA digunakan untuk melihat perbezaan.

Analisis Regresi Berganda

Analisis regresi berganda adalah teknik statistik yang digunakan untuk mengkaji kesan daripada dua atau lebih variabel tak bersandar terhadap satu variabel bersandar (Hair, 2006). Objektif analisis regresi berganda adalah menggunakan nilai dari variabel tak bersandar untuk meramal nilai variabel bersandar yang dipilih oleh penyelidik. Terdapat lima andaian dalam regresi berganda iaitu:

  1. Perhubungan yang linear
  2. Varians ungkapan ralat adalah malar (constant)
  3. Ungkapan ralat adalah tak bersandar
  4. Multikekolinearan
  5. dOutliers

PROSEDUR PENGUMPULAN DATA

Sebelum kutipan data dilakukan, penyelidik akan memohon kebenaran dumtuk menjalankan kajian daripada Bahagian Perancang dan Penyelidik Daras (EPRD), Kementerian Pelajaran Malaysia yang merupakan badan yang mengawal kajian-kajian yang dilakukan dan ia merupakan syarat bagi penyelidik yang ingin menjalakankan kajian. Setelah mendapat kelulusan daripada EPRD, penyelidik akan memohon kebenaran daripada JPN Kedah Darul Aman kerana lokasi kajian berada dibawah kuasa JPN Kedah.

Setelah mendapat kelulusan JPN Kedah, penyelidik akan mengedarkan 200 set soal selidik kepada reseponden.

Pengumpulan data akan dibuat dengan menggunakan soal selidik. Penyelidik akan mengadakan lawatan terlebih dahulu dan menerangkan kepada pihak sekolah berkenaan dengan tujuan penyelidikan dijalankan serta mewujudkan hubungan yang baik dengan pihak pengurusan sekolah. Penyelidik akan berbincang dengan pihak sekolah untuk menjalankan kajian bagi mengelakkan responden terbabit terlibat dengan aktiviti lain.

Bibliografi

  • Azizah, J. (2006). Penggunaan Perisian Kursus Sekolah Bestari di kalangan guru dan pelajar sekolah di Malaysia Kertas yang dibentangkan dalam SITMA 2006, Terengganu. Capaian pada 22 Januari 2009, dari http://www1.tganu.uitm.edu.my/ sitma06/PDF/ sessi%204/s4b2.pdf
  • Abd. Aziz, K.S., & Azlida, A. (2000). Keberkesanan Penggunaan Bahan Pengajaran Multimedia Interaktif Dalam Pengajaran. Jurnal BTP, Disember 2000, Siri 2. Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia.
  • Abdul Rahim, M.S. (1997). Peranan Teknologi Multimedia dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran Menjelang kurun ke-21. Konvensyen Teknologi Pendidikan ke-10, Persatuan Teknologi Pendidikan Malaysia.
  • Ajzen, I. (1985). From intentions to actions: A theory of planned behavior. In Kuhl, J. & Beckmann, J. (Eds.), Action control: From cognition to behavior. Heidelberg, Springer.
  • Ajzen, I., & Madden, T.J. (1986), Prediction of goal-directed behavior: attitudes, intentions, and perceived behavioral control. Journal of Experimental Social Psychology, Vol. 22, 453-74.
  • Alkemade, F. & Castaldi, C. (2005). Strategies for the Diffusion of Innovations on Social Networks. Computational Economics, Springer, vol. 25(1), 3-23.
  • Anderson, T., Varnhagen, S. & Campbell, K. (1998). Faculty adoption of teaching and learning technologies: Contrasting earlier adopters and mainstream faculty. The Canadian Journal of Higher Education. 28(2, 3), 71-98.
  • Asiah, A.S. (1990). Ke arah Pendidikan Bermutu melalui Penerapan Teknologi Pendidikan. Jurnal Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia 34/37, Jemaah Nazir, Kuala Lumpur.
  • Askar, P., & Usluel, Y.K. (2005). Diffusion of Computers in Schools. Encyclopedia of Distance Learning. Vol 4.(editors: Howard, C et. al) Idea-Group Reference: USA. p: 568-572.
  • Bandura, A. (1997). Self-efficacy: The exercise of control. New York: Freeman.
  • Beggs, T. A. (2000). Influences and barriers to the adoption of instructional technology. Proceedings of the Mid-south Instructional Technology Conference.
  • Bennett, J., & Bennett, L. (2003). A review of factors that influence the diffusion of innovation when structuring a faculty training program. Internet and Higher Education, 6, 53-63.
  • Braak, J. V. (2001). Factors influencing the use of computer mediated communication by teachers in secondary schools. Computers & Education, 36, 41-57.
  • Bruce A. W. (2005). Experience and Technology Adoption. Capaian pada 12 Januari 2010, dari http://www.econ.ohio-state.edu/weinberg/comadop.pdf
  • Butler, D. L., & Sellbom, M. (2002). Barriers to adopting technology. Educause Quarterly, 2, 22-28.
  • Chan, F.M. (2002). ICT in Malaysian Schools: Policy and Strategies. Capaian pada 22 Januari 2009, dari http://unpan1.un.org/intradoc/groups/public/ documents/ apcity/unpan011288.pdf
  • Davis, F. D. (1986). Perceived usefulness, perceived ease of use, and user acceptance of information technology. MIS Quarterly, 13(3), 319-339.
  • Davis, F. D., Richard, P. B., & Paul, R. W. (1989). User acceptance of computer technology: A comparison of two theoretical models. Management Science, 35(8), 982-1003. Capaian pada 10 Februari 2009, dari http://proquest.umi.com.eserv .uum.edu.my/pqdweb?did=106203&sid=2&Fmt=2&clientId=28929&RQT=309&VName=PQD
  • Eliane S. (2001). Multimedia support of early literacy learning. Computers & Education 39 (2002), University of Nijmegen, Netherlands.
  • Farquhar, J. & Surry, D. (1997). Diffusion theory and instructional technology. Journal of Instructional Science and Technology, 2(1). Capaian pada 12 Mac 2009, dari http://www.usq.edu.au/electpub/e-jist/docs/old/vol2no1/article2.htm
  • Fishbein, M., & Ajzen, I. (1975), Belief Attitude Intention and Behavior: An Introduction to Theory and Research, Addison-Wesley, Reading, MA.,
  • Fong, S.K. (2006). ICT Support for Science and Mathematics Teachers in The Implementation of ETeMS. Capaian pada 6 Ogos 2009, dari http://www.deakin. edu.au/arts-ed/education/du-usmlinkage/seminar/2006/doc/fong.doc.
  • Gayle, J.Y. (1993). Working Towards A Multimedia Learning Environment: Experiences in the Classroom. Journal of Information Systems Education 6/93, Vol. 5, No.2.
  • Gayle, J. Y., & Uma, N. (1996). Learning Basic Concepts of Telecommunications: An Experiment in Multimedia and Learning. Computer Educ, Vol. 26, No.4, 215-224.
  • Groves, M. & Zemel, P. (2000). Instructional technology adoption in higher education: an action research case study. International Journal of Instructional Media, 27(1), 57-65.
  • Gerlio I., & Jausovec N. (1999). Multimedia: Differences in Cognitive Processes Observed with EEG. ETR&D, Vol. 47, No.3, 5-14.
  • Hair, F. J. (2006). Multivariate Data Analysis, 6th Ed, New Jersey: Prentice Hall.
  • Hamidah, B. (2000). Multimedia Pendidikan Dalam P&P Sekolah Bestari. Jurnal BTP, Disember 2000, Siri 2. Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia.
  • Handwerker, C. (2001). New technologies and higher education in Germany: a field study and comparison. Germany: Tectum Verlag.
  • Huskey, P. E. (2009). Adoption of Healthcare Information Technology. Tesis PhD yang tidak diterbitkan. Stevens Institute of Technology, UMI.
  • Ibrahim, A. et al. (2005). Pembelajaran Mata Pelajaran ICT Menggunakan ICT Menerusi Pendekatan Pembelajaran Berasaskan Masalah. Prosiding Seminar Pendidikan JPPG 2005 di Hotel Shangri-La, Pulau Pinang pada 28 - 30 August 2005. Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, USM.
  • Kabbar, E.F., & Crump, B.J. (2006). The Factors that Influence Adoption of ICTs by Recent Refugee Immigrants to New Zealand. Informing Science Journal 9: 111-121.
  • Kementerian Pelajaran Malaysia. (2001). Penggunaan Teknologi Maklumat Dan Komunikasi (ICT) Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran. Kuala Lumpur. Pusat Perkembangan Kurikulum.
  • Kementerian Pelajaran Malaysia. (2002). English for teaching mathematics and science (ETeMS): Facilitator's note. Kuala Lumpur: Teacher Education Division, English Language Teaching Centre.
  • Kerlinger, F.W. (1973). Foundation of Behavioral Research, 2nd Ed. Rinehart and Winston, Holt.
  • Lin, C. A., & Jeffres, L. W. (1998). Factors influencing the adoption of multimedia Cable Technology. Journalism & Mass Communication Quarterly, 75(2), 341-352.
  • Mohd Majid, K. (1998). Kaedah Penyelidikan Pendidikan. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
  • Mohd Nizar, Y. (2007). Keberkesanan Penggunaan Perisian Pendidikan (teaching courseware) dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sains. Tesis Sarjana yang tidak diterbitkan. Sintok, Universiti Utara Malaysia.
  • Mohd. Sarif, A.M. (1998). Faktor-Faktor Penghalang Terhadap Pendifusian Teknologi Pendidikan Di Kalangan Guru-Guru Sekolah Menengah Sains Di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Capaian pada 10 Januari 2010 dari http://www.moe.edu.my:8080/c/journal_articles/view_article_content?groupId=1&articleId=LP056&version=1.0
  • Mohd Salahuddin, S. (2006). Penyelesaian Masalah Matematik (Ungkapan Dan Persamaan Kuadratik). Tesis Sarjana yang tidak diterbitkan. Johor, Universiti Teknologi Malaysia.
  • Moersch, C. (1995). Levels of Technology Implementation (LoTi): A Framework for Measuring Classroom Technology Use, Learning and Leading with Technology, 23(3), 40-42. Capaian pada 17 April 2009, dari http://loticonnection.com/pdf/ LoTiFrameworkNov95.pdf
  • Morris, R. (2001). Online tables of contents for books: The user’s perspective. Doctoral dissertation, University of Michigan. Advisor, Joan Durrance. Capaian pada 15 Januari 2009, dari http://proquest.umi.com.eserv.uum.edu.my/pqdweb?did= 728980161 &sid= 1&Fmt=2&clientId=28929&RQT=309&VName=PQD
  • Ndubisi, N. O. (2004), Factors Influencing E-learning Adoption Intention: Examining the Determinant Structure of the Decomposed Theory of Planned Behaviour Constructs, HERDSA 2004 Conference Proceedings. Capaian pada 16 Oktober 2009, dari http://www.herdsa.org.au/wp-content/uploads/conference/2004/ PDF/P057-jt.pdf
  • Noor Azliza, C.M., & Lilia, H. (2002). Reka Bentuk dan Keberkesanan Pembelajaran Berbantukan Multimedia Pendekatan Konstruktivisme bagi Sains KBSM. Capaian pada 15 Januari 2010, dari http://www.penerbit.utm.my/onlinejournal/36/E/ JT36E2.pdf
  • Nor Aziah, A., & Ahmad Marzuki. Z. (2004). Innovation for Better Teaching and Learning: Adopting the Learning Management System. Malaysian Online Journal of Instructional Technology, Vol. 2, No.2, 2-40. Capaian pada 5 Januari 2010, dari http://pppjj.usm.my/mojit/articles/pdf/August05/03-Article-037orAziah UiTM %20version%202[1].pdf
  • Norhayati, A.M. (2000). Computer Technology In Malaysia : Teacher’s Background Characteristics, Attitudes And Concerns, The Electronic Journal on Information Systems in Developing Countries 3, 8, 1-13. Capaian pada 1 Januari 2010, dari http://www.ejisdc.org/ojs2/index.php/ejisdc/article/viewFile/20/20
  • Nor Azan, M.Z., et al. (2009). Penilaian Perisian Kursus Adaptif Multimedia (A-Maths) Berasaskan Stail Pembelajaran. Jurnal Teknologi Maklumat & Multimedia 5(2009): 61 -78
  • Norizan, E., & Loo, S.P. (2002). Multimedia Instruction-How Does Presentation Format Affect Learning. Malaysian Journal of Educational Technology, June 2002, Volume 2, Number 1. Persatuan Teknologi Pendidikan Malaysia.
  • Pajares, G.R. (2002). Self efficacy beliefs in academi contexts: An outline. Capaian pada 12 Januari 2009, dari http://www.des.emory.edu/mfp/efftalk.html
  • Pelan Induk Pendidikan 2006-2010 (2006). Capaian pada 15 Januari 2010 dari http://www.moe.gov.my/.
  • Pusat Perkembangan Kurikulum. (2000). Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah: Matematik Tambahan. Kuala Lumpur: KPM.
  • Pusat Perkembangan Kurikulum. (2006). The latest status of delivery, installation and usage of GSP in school. Kuala Lumpur: KPM.
  • Putt, I. & Henderson, V. (1996). Teachers’ Thinking Elicited from Interactive Multimedia Professional Development Courseware, ETR&D, Vol. 44, No.4, 7-22, 1996.
  • Richardson, J.W. (2007). Adoption of Technology by Teacher Trainers in Cambodia: A Study of the Diffusion of an ICT Innovation. Tesis PhD yang tidak diterbitkan. Universiti Minnesota.
  • Roblyer, M. D., & Edwards, J. (2000). Integration educational technology into teaching. Upper Saddle River: Prentice Hall
  • Rodney, L., Michael, L., & Christina, Y. (2009). Teacher Usage nd Perceptions Of Online Discussion Forums In Higher Education. Kertas Kerja Prosiding The 2nd International Conference Of Teaching & Learning (Ictl 2009). Inti University College, Malaysia. Capaian pada 12 Januari 2010, dari ictl.intimal.edu.my /proceedings/.../2D/2D-01-P42%20(Malaysia).doc
  • Rogers, E. M. (2003). Diffusion of innovations. (5th ed.). New York: The Free Press.
  • Rogers, P. L. (2001). Barriers to adoption emerging technologies in education. Journal of Educational Computing Research, 22(4), 455-472.
  • Romiszowski A.J. (1998). The Selection and Use of Instructional Media : A System Approach. Kogan Page, London.
  • Saadé, R., & Bahli, B. (2005). The impact of cognitive absorption on perceived usefulness and perceived ease of use in on-line learning: An extension of the technology acceptance model. Information & Management, 42(2), 261-386.
  • Sanders, D. W., & Morrison-Shetlar, A. I. (2001). Student attitudes toward web-enhanced instruction in an introductory biology course. Journal of Research on Computing in Education, 33(3), 251-263.
  • Seminoff, N. E. & Wepner, S. B. (1997). What should we know about technology-based projects for tenure and promotion? Journal of Research on Computing in Education, 30(1), 67-82.
  • Sherry, L., & Gibson, D. (2002). The Path to Teacher Leadership in Educational Technology. Contemporary Issues in Technology and Teacher Education. Capaian pada 2 Februari 2010 dari http://www.citejournal.org/vol2/iss2/general/article2.cfm
  • Stone, R. W. & Henry, J. W. (2003). The Roles of Computer Self-Efficacy and Outcome Expectancy in Influencing the Computer End-User's Organizational Commitment. Journal of End User Computing 15(1), 38-53.
  • Surry, D. W. & Ely, D. P. (2002). Adoption, diffusion, implementation, and institutionalization of instructional design and technology. Capaian pada 14 April 2009, dari http://www.usouthal.edu/coe/bset/surry/papers/adoption/chap.htm.
  • Toshihiko Mukoyama. (2005) Diffusion and Innovation of New Technologies under Skill Heterogeneity. Journal of Economic Growth 9:4, 451-479
  • Uma Sekaran. (2003). Research methods for business a skill building approach (4th Ed.). Chichester: John Wiley.
  • Wiersma, W. (2000). Research Methods in Education: An Introduction (7th Ed.) Boston: Allyn and Bacon.

Writing Services

Essay Writing
Service

Find out how the very best essay writing service can help you accomplish more and achieve higher marks today.

Assignment Writing Service

From complicated assignments to tricky tasks, our experts can tackle virtually any question thrown at them.

Dissertation Writing Service

A dissertation (also known as a thesis or research project) is probably the most important piece of work for any student! From full dissertations to individual chapters, we’re on hand to support you.

Coursework Writing Service

Our expert qualified writers can help you get your coursework right first time, every time.

Dissertation Proposal Service

The first step to completing a dissertation is to create a proposal that talks about what you wish to do. Our experts can design suitable methodologies - perfect to help you get started with a dissertation.

Report Writing
Service

Reports for any audience. Perfectly structured, professionally written, and tailored to suit your exact requirements.

Essay Skeleton Answer Service

If you’re just looking for some help to get started on an essay, our outline service provides you with a perfect essay plan.

Marking & Proofreading Service

Not sure if your work is hitting the mark? Struggling to get feedback from your lecturer? Our premium marking service was created just for you - get the feedback you deserve now.

Exam Revision
Service

Exams can be one of the most stressful experiences you’ll ever have! Revision is key, and we’re here to help. With custom created revision notes and exam answers, you’ll never feel underprepared again.