Print Email Download Reference This Send to Kindle Reddit This
submit to reddit

Pendahuluan - Malaysia merupakan sebuah negara yang

1.0 Pendahuluan

*Pendahuluan {Englsh Translation - Preliminary} similar to Pengenalan {Englsh Translation: Introduction}

Read this essay in English here >

Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri daripada lebih 200 kumpulan etnik. Antaranya ialah Melayu, Cina, India, Kadazan-Dusun, Iban dan lain-lain. Dengan penduduk yang pelbagai budaya ini, perpaduan etnik atau sebaliknya sentiasa menjadi agenda dalam pengurusan masyarakat dan pemerintahan negara ini.

Oleh kerana wujudnya kepelbagaian budaya, agama dan bahasa dalam kalangan rakyat di negara ini, maka timbulah pelbagai masalah yang melibatkan hubungan etnik. Boleh dikatakan bahawa perkauman akan sentiasa menjadi batas pemisah antara rakyat pelbagai kaum. Keadaan ini seterusnya boleh melahirkan ketegangan dan konflik antara kaum dan seterusnya boleh menyebabkan berlakunya pertumpahan darah.

Berdasarkan kepada peristiwa 13 Mei, beberapa perkara penting yang perlu dipandang serius dalam membina nagara bangsa yang bersatu padu. Dalam hal ini, ternyata faktor hubungan etnik yang harmonis menjadi anak kunci bagi keseimbangan antara kekukuhan ekonomi dan kestabilan politik. Hubungan etnik yang mantap sangat perlu dalam kalangan rakyat sesebuah negara yg mempunyai kepelbagaian dari segi agama, bahasa, budaya dan etnik.

Rakyat Malaysiayang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama perlu menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat. Sejajar dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur.

2.0 Cabaran hubungan etnik

2.1 Cabaran hubungan etnik dari aspek ekonomi

Salah satu cabaran hubungan etnik dalam aspek ekonomi ialah pemisahan fizikal. Pemisahan fizikal ini wujud kesan daripada dasar ‘pecah dan perintah' yang diamalkan oleh penjajah British pada masa dahulu. Pemisahan fizikal ini menyebabkan menyebabkan sesuatu golongan etnik itu tidak mengenal atau berpeluang untuk berinteraksi dengan lebih kerap kerana tinggal di wilayah yang berbeza. Hal ini merenggangkan perhubungan perhubungan dan interaksi serta memperkuatkan lagi perasaan kekitaan dan etnosentrisme dalam kalangan anggota setiap etnik. Keadaan ini seterusnya akan menimbulkan prasangka, stereotaip dan mengekalkan kejahilan dalam kalangan ahli sesuatu golongan etnik terhadap golongan etnik yang lain.

Setiap golongan etnik mempunyai sistem pendidikan yang tersendiri dan masih menggunakan sukatan pelajaran yang diamalkan di negara asal mereka. Pelajar Melayu belajar di sekolah Melayudan menggunakan bahasa Melayu. Orang India pula bersekolah di sekolah Tamil dan menggunakan bahasa Tamil. Manakala bagi pelajar Cina, mereka bersekolah di sekolah Cina dan menggunakan bahasa Mandarin. Keadaan ini menyebabkan interaksi sesama mereka hanya berkisar dalam kalangan etnik yang sama.

Selain itu, kontrak sosial juga juga kerap dibangkitkan oleh sesetengah pihak. Kontrak sosial merupakan persetujuan yang dicapai semasa kemerdekaan dalam merangka perlembagaan. Antara isu yang sering ditimbulkan ialah kedudukan istimewa orang Melayu, kedudukan agama Islam, bahasa Melayu, dan sebagainya. Sebarang isu atau kontrak sosial yang dibangkitkan boleh membawa kepada kerenggangan hubungn etnik di Malaysia.

2.2 Cabaran hubungan etnik dari aspek ekonomi

Dalam sektor ekonomi, terdapat jurang yang luas dari segi penguasaan ekonomi. Kebanyakan orang Melayu menguasai sektor pertanian yang agak mundur. Orang Cina umumnya menguasai sektor yang lebih maju seperti perniagaan dan perdagangan. Manakala orang India pula menguasai sektor ekonomi yang berasaskan ladang. Kesannya, wujud jurang pendapatan yang berbeza antara etnik.

Dasar British yang meletakan kaum berdasarkan kepada pekerjaan menyebabkan etnik tertentu mendominasi dalam satu-satu bidang pekerjaan. Orang Melayu kebanyakannya terlibat dalam sektor pertanian, nelayan dan berkhidmat sebagai penjawat awam. Kebanyakan orang Cina pula terlibat dalam sektor perniagaan dan perlombongan. Manakala sebahagian besar orang India pula merupakan buruh di estet. Perbezaan ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan etnik tertentu. Secara tidak langsung, perkara ini memperkukuhkan lgi semangat perkauman.

2.3 Cabaran hubungan etnik dari aspek politik

Di negara ini terdapat pelbagai parti politik yang berasaskan kumpulan etnik dan setiap parti politik akan memperjuangkan kepentingan kumpulan etnik yang diwakilinya. Politok perkauman ini boleh menimbulkan perasaan tidak senang hati dan mengukuhkan semangat perkauman jika penyuaraan kepentingan etnik tertentu dibuat tanpa mengambil kira kepentingan semua pihak. Jika isu perkauman seperti bahasa, kebudayaan, pendidikan, agama, kerakyatan dan ekonomi dibangkitkan, maka tindakan ini tidak akan menyumbang kea rah masyarakat yang bersatu padu.

2.4 Cabaran nilai antara etnik

Malaysia merupakan negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk. Oleh itu, terdapat pelbagai perbezaan dari segi agama, bahasa dan kebudayaan dalam masyarakat di Malaysia. Setiap kumpulan etnik mempertahankan kebudayaan dan adat resam mereka, mengutamakan etnik mereka dan mungkin juga menganggap kebudayaan mereka sahaja yang terbaik. Hal ini menyebabkan anggota etnik lebih mengutamakan anggota daripada etnik yang sama dalam memilih sahabat, mendapatkan pekerjaan dan natijah akhirnya akan mewujudkan polarisasi antara etnik. Selain daripada itu kewujudan akhbar yang pelbagai bahasa dengan mengutamakan kelompok etnik mereka akan memperkukuhkan lagi perasaan kumpulan etnik masing-masing. Cabaran dari segi kepentingan nilai ini akan mewujudkan masalah yang lebih besar jika fahaman etnosentrisme itu dijadikan pegangan dalam masyarakat.

2.5 Cabaran globalisasi

Globalisasi merujuk kepada dunia tanpa sempadan dimana perhubungan menjadi semakin pintas dan cepat. Kita boleh mengetahui keadaan dunia luar dengan pantas dan cepat dan segala maklumat boleh disalurkan tanpa ada sekatan. Globalisasi membawa masuk pengaruh dari Barat dari segi ideology, budaya hedonism dan nilai negatif, ekonomi bebas, sains dan teknologi yang memusnahkan dan system politik yang dianggap terbaik bagi semua manusia.

Melalui globalisasi, kuasa Barat mengeksport segala macam keburukan yang merosakkan negara dan alam sekitar, budaya hiburan dan pengeksplotasian sumber manusia dan bahan mentah. Gejala ini mengakibatkan lenyapnya nilai luhar dan pemikiran Barat diterima secara ke dalam masyarakat. Kejayaan mereka ini dibantu oleh masyarakat tempatan yang menganggap segala yang datang dari barat adalah baik dan moden.

Keadaan ini akan memberi kesan kepada hubungan etnik, intergrasi, perpaduan, mudah terjadinya konflik dan lebih parah lagi mengundang rusuhan kaum. Secara tidak langsung, keadaan ini akan memburukan lagi hubungan etnik di Malaysia.

3.0 Peranan kerajaan dalam meningkatkan hubungan etnik

3.1 Penubuhan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional

Peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 telah membuka mata pelbagai pihak tentang pentingnya usaha-usaha yang lebih serius diberikan tumpuan dalam mengurus perbezaan serta sensitiviti yang terdapat dalam sesebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia. Berikutan peristiwa tersebut, Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah ditubuhkan. Pada 1 Julai 1969, Jabatan Perpaduan Negara di bawah perintah MAGERAN telah diwujudkan bagi menanggani isu-isu berhubung pembinaan semula perpaduan masyarakat di negara kita pada waktu itu (Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional,2006).

Selepas pembubaran MAGERAN, Majlis Penasihat Perpaduan Negara telah ditubuhkan iaitu pada 23 Februari 1971. tanggungjawab bagi memupuk dan memelihara perpaduan antara kaum di negara ini terus diletakkan di bawah tanggungjawab Jabatan Perpaduan Negara. Antara 1990-2004, Jabatan Perpaduan Negara telah diletakkan semula di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan nama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).

Bermula daripada kemerdekaan sehingga kini, kerajaan telah merangka dan memberi penekanan kepada beberapa dasar dalam bidang sosioekonomi yang menjurus kepada perpaduan dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum serta integrasi nasional. Dasar-dasar yang dimaksudkan termasuklah Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Dasar Ekonomi Baru. Dasar-dasar tersebut telah diperkukuh lagi dengan memperkenal Rukun Negara sebagai ideologi kebangsaan. Bagi mengurangkan tindak tanduk politik yang boleh memecahbelahkan rakyat, usaha telah diambil untuk membentuk Barisan Nasional. Sebagai tindakan susulan dalam memperlengkap dan memperkukuh usaha pembentukan bangsa Malaysia., beberapa dasar lain telah dibentuk. Antaranya ialah Dasar Pembangunan Negara, Dasar Wawasan Negara dan Dasar sosial Negara. Pendirian kerajaan telah menegaskan lagi dalam pernyataan Wawasan 2020.

JPNIN melalui Pelan Tindakan Perpaduan dan Integrasi Nasional 2005-2010, telah merancang pelbagai usaha untuk memupuk dan mempertingkatkan perpaduan dan integrasi nasional iaitu:

1. Strategi Politik: Persefahaman

2. Strategi Ekonomi

3. Strategi Pendidikan

4. Strategi Penggunaan Bahasa Kebangsaan

5. Strategi Agama

6. Strategi Kebudayaan

7. Strategi Integrasi Wilayah

8. Stategi Keselamatan

9. Strategi Pembangunan Kawasan

10. Strategi Penggunaan Tenaga Manusia

11. Strategi Media Massa

12. Strategi Kesukanan

13. Strategi Pemasyarakatan Perpaduan

14. Strategi Pertubuhan Sukarela

15. Strategi Penyelidikan dan Penerbitan Bahan Bacaan

16. Strategi Pemantauan Isu-isu Semasa dan Konflik

17. Strategi Penubuhan Panel Penasihat Perpaduan Negara (PANEL) dan Jawatankuasa Penasihat Perpaduan Peringkat Negeri (JKPPN)

18. Strategi Program dan Aktiviti Perpaduan

19. Strategi-strategi lain:

-Mewujudkan latihan dalam bidang komunikasi antara budaya

-Mewujudkan pengauditan dasar-dasar kerajaan

-Menghasilkan satu etika mengenai hak dan tanggungjawab kemanusiaan untuk rakyat Malaysia

-Penerbitan bahan bacaan secara meluas mengenai kaum-kaum di Malaysia.

3.2 Memperkasakan sekolah wawasan

Sistem pendidikan pebagai aliran menyebabkan tidak ada acuan khusus yang boleh digunakan untuk membentuk masyarakat yang bersatu padu . sistem pendidikan pelbagai aliran yang wujud sekarang telah mengakibatkan ibu bapa pelajar memilih aliran mengikut kaum masing-masing. Usaha memupuk perpaduan haruslah dimulakan sejak awal lagi dengan mambabitkan murid sekolah rendah dalam acuan yang sama. Dengan itu, sekolah kebangsaan perlu diperkasakan bagi menerapkan semangat perpaduan dalam kalangan pelajar pelbagai etnik. Justeru, para pelajar dapat dilatih hidup saling bekerjasama dan mempunyai semangat patriotisme serta berakomodatif yang tinggi.

Maka, usaha-usaha perlu diambil untuk memperkasakan sekolah kebangsaan dalam sistem pendidikan negara bagi meletakkan landasan yang lebih kukuh ke arah menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara ini tanpa mengetepikan sekolah rendah jenis kebangsaan yang telah dipersetujui oleh semua golongan etnik di bawah kontrak sosial. Setiap ibu bapa diberi kebebasan menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan. Jika mereka memilih sekolah jenis kebangsaan Cina atau Tamil, maka tidak ada sesiapa yang boleh menghalang mereka.

Namun begitu, sekolah kebangsaan merupakan institusi pendidikan utama bagi anak-anak Malaysia untuk memenuhi aspirasi dan memiliki jati diri nasional. Sekolah Kebangsaan bukan sahaja berkemampuan untuk mendidik pelajar tetapi membantu menanam nilai-nilai perpaduan dalam kalangan pelajar yang terdiri daripada palbagai kaum. Sekolah kebangsaan merupakan aliran utama pendidikan untuk semua warganegara Malaysia tanpa mengira kaum.

Bagi memupuk semangat perpaduan dan keyakinan terhadap sistem sekolah satu aliran, sekolah kebangsaan perlu dijadikan lebih menarik untuk menarik minat orang bukan Melayu. Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan, bagi menjadikan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan, kualiti pengajaran di sekolah kebangsaan akan diperingkatkan dengan 100 peratus guru di sekolah menengah dan 25 peratus guru di sekolah rendah akan mempunyai kelayakan ijazah pertama menjelang tahun 2010. Semangat perpaduan dalam kalangan pelajar bukan sahaja perlu dipupuk oleh pihak sekolah tetapi juga institusi pendidikan tinggi. Antara langkah yang boleh dijalankan adalah seperti berikut, iaitu:

1. Tidak mengetepikan proses penguasaan bahasa ibunda masing-masing dengan memperkenalkan pengajaran bahasa Mandarin dan Tamil.

2. Memberi kesedaran kepada pelajar tentang kepentingan interaksi antara golongan etnik.

3. Mengadakan lebih banyak aktiviti antara golongan etnik

4. Mengadakan program interaksi antara sekolah dan memasukkan unsur-unsur interaksi etnik dalam kurikulum serta meningkatkan kemahiran berinteraksi dengan golongan etnik lain.

3.3 Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang mula dilaksanakan pada tahun 2004 merupakan khusus latihan wajib selama tiga bulan secara berkhemah dan berasrama bagi remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia. PLKN dilaksanakan berteraskan Rukun Negara dan mempunyai kurikulum multidisiplin yang merangkumi empat modul iaitu modul fizikal (merangkumi antara lain aktiviti kawad, merempuh halangan, merentas desa dan kembara hutan); modul kenegaraan (pengetahuan tentang pembinaan Negara atau nation-building); Modul Pembinaan Karakter (penerokaan diri sendiri dan hubungan interpersonal) dan Modul Khidmat Komuniti (merangkumi antara lain aktiviti gotong- royong seperti membersihkan, mengindahkan dan menceriakan kawasan sekitar). PLKN tidak bersifat kerahan tenaga atau mengikut trend yang diamalkan oleh negara lain.

Seperti yang dinyatakan oleh Jabatan Latihan Khidmat Negara, PLKN bertujuan untuk meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda , memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional, membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni, menyemarakkan semangat kesukarelaan, dan melahirkan generasi muda yang lebih cergas, cerdas dan penuh keyakinan.

PLKN sememangnya menyumbang terhadap usaha memupuk perpaduan kaum, terutamanya dalam kalangan golongan remaja kerana semua aktiviti yang dijalankan menekankan semangat muhibah dan saling bertolak ansur antara peserta tidak mengira kaum atau agama. Modul kenegaraan dapat menyemai semangat cinta akan tanah air di samping membolehkan para peserta mempelajari adat dan budaya pelbagai kaum. Apabila wujudnya rasa cintakan negara dalam diri peserta, perpaduan kaum dan integrasi nasional serta saling kerjasama antara kaum di Malaysia dapat diwujudkan kerana masing-masing mempunyai satu matlamat, iaitu untuk melihat Malaysia sebagai negara yang aman dan harmonis. Hal ini akhirnya dapat melahirkan remaja yang sanggup berkorban demi perpaduan bangsa.

4.0 Peranan masyarakat dalam konteks hubungan etnik

4.1 Rukun Tetangga

Skim Rukun Tetangga telah diperkenalkan pada tahun 1975 berikutan dengan kuat kuasanya Peraturan-Peraturan Perlu (Rukun Tetangga 1975). Pada peringkat awal, Rukun Tetanggga membolehkan rakyat mengawal keselamatan di kawasan kediaman masing-masing. Dengan tumpuan diberi kepada tugas rondaan yang diwajibkan kepada masyarakat setempat yang berumur antara 18 hingga 55 tahun. Mulai 1 Januari 1983 kerajaan telah memperkenalkan satu pembaharuan dengan memberi penekanan pada konsep kejiranan yang bertujuan untuk memupuk serta mengukuhkan lagi semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat. Berikutan dengan ini, Peraturan Perlu (Rukun Tetangga) 1975 telah dipinda bagi tujuan tersebut. Dalam tahun 2000, pendekatan Rukun Tetangga telah dipinda sekali lagi dengan memberi mandat yang lebih luas iaitu pembangunan masyarakat secara menyeluruh ke arah mewujudkan perpaduan nasional.

Visi Rukun Tetangga ialah membantu dalam pembentukan satu bangsa Malaysia yang bersatu padu dalam konteks pencapaian Wawasan 2020. Manakala misinya ialah memupuk kesefahaman dan bertolak ansur ke arah pembangunan bangsa Malaysia yang bersatu padu serta beridentiti sendiri dan motonya pula ialah Bersatu Terus Maju.

Objektif Rukun Tetangga, iaitu memelihara, meningkat dan mengukuhkan perpaduan rakyat dan integrasi nasional selaras dengan dasar-dasar pembangunan negara berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Bagi memastikan matlamat Rukun Tetangga tercapai, beberapa aktiviti dilakukan oleh komuniti Rukun Tetangga yang boleh dikategorikan kepada beberapa bentuk aktiviti seperti berikut:

- sosial: amalan kunjung-mengunjung semasa musim perayaan seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas, Hari Gawai, Pesta Keamatan, dan Hari Keluarga.

- Pendidikan- pendidikan tidak formal, kolokium jiran wanita, kursus motivasi, kursus kepimpinan, tuisyen, ceramah-ceramah dalam pelbagai bidang.

- Sukan- sukan neka, larian, permainan bola sepak, bola baling, bola jaring, sukan air, sukan tradisional, sukan rakyat dan lain-lain.

- Rekreasi- tai chi, ekspedisi mendaki bukit, kembara dan mountaineering, khemah kerja dan lain-lain.

- Kesihatan dan alam sekitar-ceramah kesihatan berkaitan antidadah, AIDS, kanser, kempen kebersihan, anti nyamuk dan menjaga harta awam.

- Kesenian dan kebudayaan- kelas-kelas seni tari, kraf tangan, permainan tradisional, kelas gamelan, kompang, tarian tradisional, tarian singa, pertunjukan pentas dan lain-lain.

- Ekonomi- aktiviti tanaman secara hidroponik, ternak ikan air tawar dan membuat air lada

Skim Rukun Tetangga diperkenalkan pada tahun 1975 sebagai satu langkah membolehkan rakyat sendiri mengawal dan menjaga keselamatan kawasan kediaman mereka. Skim ini kemudiannya diperbaharui dengan menekankan konsep kejiranan dengan falsafah bahawa kesejahteraan kawasan sejiran akan menjamin kesejahteraan negara. Pada masa kini peranan Skim Rukun Tetangga diperluas lagi dengan pendekatan pembangunan komuniti bagi memastikan perpaduan dan keharmonian hubungan dalam masyarakat akan terus berkekalan dan berterusan.

Sehingga Mei 2006 sebanyak 3228 kawasan Rukun Tetangga telah ditubuhkan di seluruh negara. Jawatankuasa Rukun Tetangga ini telah menganjurkan pelbagai aktiviti dalam komuniti mereka. Dari bulan Januari hingga Mei 2006, Jawatankuasa Rukun Tetangga di seluruh negara telah melaksanakan sebanyak 36029 aktiviti. Aktiviti ini bertujuan untuk membolehkan penduduk setempat berkenalan, bantu-membantu dalam menghadapi masalah bersama, berinteraksi dan merapatkan hubungan pada peringkat akar umbi antara pemimpin dengan rakyat dan antara rakyat pelbagai keturunan, adat dan budaya (Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional).

4.2 Rumah Terbuka

Rumah terbuka akan diadakan oleh setiap rakyat Malaysia apabila tiba musim perayaan. Setiap golongan etnik di Malaysia akan sering kunjung-mengunjungi ke rumah jiran tetangga walaupun berlainan etnik. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, etnik Cina, India, Kadazan, Iban dan pelbagai lagi akan mengunjungi ke rumah orang Melayu dan begitulah sebaliknya bagi etnik lain. Etnik Cina misalnya akan berusaha menyediakan makanan yang halal kepada etnik Melayu apabila menjemput etnik Melayu datang ke rumah sewaktu Tahun Baru Cina. Hal ini menunjukan etnik Cina begitu mengambil berat dan memahami budaya etnik Melayu. Begitu juga dengan etnik Melayu tidak akan menyajikan daging lembu kepada etnik India apabila mereka datang ke rumah semasa Hari Raya Aidilfitri. Pertimbangan ini memperlihatkan keharmonian hubungan etnik sentiasa terjalin kukuh dalam kalangan rakyat dan memahami dan menghormati budaya masing-masing. Amalan ini membuktikan integrasi sosial dalam kalangan masyarakat begitu tinggi walaupun berlainan agama, bangsa dan kebudayaan.

4.3 Penerimaan Budaya

Dewasa ini, masyarakat bukan Melayu di Malaysia mula menerima budaya orang Melayu dari segi pakaian dan makanan. Misalnya, orang bukan Melayu segak menggayakan baju kurung dan baju Melayu terutamanya pada hari Jumaat dan fenomena ini sesuatu yang biasa bagi pelajar bukan Melayu. Bagi orang Melayu pula, mereka mula menerima masakan orang Cina dan India serta pemberian duit raya telah menggunakan sampul atau angpau yang terkenal dalam kalangan orang Cina. Dewasa ini juga telah kelihatan di taman-taman perumahan, terdapatnya penempatan yang sama untuk semua etnik yang pastinya keadaan ini akan menggalakkan lagi hubungan etnik dalam kalangan rakyat melalui aktiviti setempat.

4.4 Program di Institusi Pengajian Tinggi (IPT)

Bahagian hal ehwal pelajar melalui persatuan-persatuan dan kelab-kelab hendaklah sentiasa menggalakkan aktiviti dan program yang menjurus kepada perpaduan kaum dalam kalangan mahasiswa. Sebagai contoh, melalui aktiviti Pesta Tanglung, yang bukan sahaja melibatkan mahasiswa Cina dan India, tetapi turut juga disertai oleh mahasiswa Melayu. Menyentuh kepimpinan pelajar, ternyata tidak didominasikan oleh sesuatu kaum sahaja, tetapi turut sama dianggotai oleh pelbagai kaum seperti dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Kandungan kursus di semua institusi pendidikan harus menitikberatkan aspek-aspek pendidikan yang harmonis dalam sesebuah masyarakat pelbagai kaum. Nilai-nilai rohani dan budaya bersama perlu diberikan keutamaan dalam subjek Kenegaraan, Tamadun Islam dan Asia serta Hubungan Etnik. Maka, adalah penting kurikulum yang ada menguatkan peribadi moral dan sahsiah para pelajar. Hal ini kerana keperibadian yang tinggi menjadi asas kepada segala nilai rohani dan budaya yang akan menyatupadukan generasi muda.

Saranan diwujudkan kelab perpaduan atau Kelab Rukun Negara di setiap IPT merupakan satu langkah yang amat baik kerana saranan ini merupakan usaha bagi menyemai kesedaran terhadap kepentingan perpaduan kaum. Justeru, bahagian hal ehwal pelajar sewajarnya menggalakkan para mahasiswa menganggotai kelab perpaduan atau Kelab Rukun Negara dengan memberi beberapa keistimewaan seperti pengecualian kredit dan sebagainya. Pihak university juga perlulah memberi sokongan terhadap aktiviti yang dijalankan baik dari segi material mahupun khidmat nasihat.

Aktiviti kokurikulum merupakan bidang pembelajaran yang menekankan pemupukan dan perkembangan diri individu melalui psikomotor, kognitif dan efektif. Justeru, aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan seperti program sukan, kelab, persatuan, pameran, ceramah dan pelbagai lagi haruslah dipergiat dan dipertingkat lagi dalam kalangan mahasiswa pelbagai kaum. Di luar sistem akademik, para pelajar harus dilibatkan dalam aktiviti pelbagai kaum seperti keluarga angkat, persatuan dan badan beruniform. Hal ini akan memberi pengalaman yang sangat berharga dalam memahami bagaimana kehidupan rakyat Malaysia.

Manakala aktiviti perpaduan dan khidmat masyarakat mempunyai peranan yang penting dalam menggalakan penyertaan dan pengalaman bersama antara kaum. Oleh itu, galakan kepada aktiviti seperti ini perlu diberikan dengan kerjasama rapat pihak kerajaan dan sektor swasta. Para pelajar juga perlu ditugaskan dalam projek-projek perkhidmatan masyarakat seperti operasi khidmat masyarakat, mahasiswa balik kampung dan sebagainya.

Para pensyarah juga perlu diterap dan didedahkan dengan sikap perpaduan antara kaum yang positif. Para pensyarah mestilah diberi pendedahan kepada kursus seperti sosiologi perhubungan kaum atau hubungan etnik untuk menerapkan nilai-nilai yang penting dalam kalangan pelajar bagi memupuk keharmonian kaum. Sesungguhnya para pensyarah mempunyai peranan yang besar sebagai agen penyebar perpaduan dan keharmonian dalam negara pelbagai kaum ini. Mereka merupakan agen integrasi dan perpaduan yang memainkan peranan penting dalam menggalakkan lebih banyak interaksi melalui tugasan dan projek akademik.

5.0 Peranan NGO dalam Konteks Hubungan Etnik

Walaupun terdapat pertubuhan yang berasaskan golongan etnik, namun terdapat pertubuhan induk pada peringkat kebangsaan yang menaungi pertubuhan berasaskan etnik seperti Pertubuhan Belia Malaysia, Dewan Perniagaan dan Perusahaan Malaysia dan pelbagai lagi. Hal ini sudah tentulah dapat mempercepat lagi proses hubungan etnik melalui peranan yang dimainkan oleh NGO.

Menyentuh aspek kepimpinan pula sama ada pada peringkat negara atau persatuan, barisan kepimpinan disertai oleh pemimpin pelbagai kaum. Sebagai contoh, kepimpinan Majlis Belia Malaysia disertai oleh semua golongan etnik yang ada di Malaysia.

Walaupun terdapat pembahagian pertubuhan mengikut kaum seperti Pergerakan Belia 4B, Persatuan Belia Tamil, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Dewan Perniagaan Cina Malaysia dan Dewan Perniagaan India Malaysia, namun ini sewajarnya digunakan oleh NGO ini untuk mewujudkan pelbagai dialog dan seminar dalam usaha memahami permasalahan yang wujud dan dicari jalan penyelesaiannya. Contohnya, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sentiasa mengadakan seminar bagi menjelaskan kepentingan hubungan etnik dalam konteks Malaysia.

Untuk itu, peranan pihak swasta dan kerajaan amat diperlukan dalam menyumbangkan dana bagi meningkatkan penyelidikan dan pembangunan bagi menghasilkan inovasi dan seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi negara. Dana-dana sedia ada seperti Intensive Research Priority Areas (IRPA) dan geran daripada pihak swasta dan pertubuhan institusi tertentu seperti Koridor Raya Multimedia (MSC), Akademi Sains Negara dan pelbagai lagi merupakan penjana kepada pembangunan ekonomi negara.

Disebabkan sains dan teknologi ini begitu memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara, maka aspek ini amat penting dalam meningkat hubungan etnik rakyat Malaysia. Hal ini kerana apabila pembangunan ekonomi negara itu berkembang pesat di samping kestabilan politik, akan mampu menarik lebih ramai pelabur sama ada dari dalam atau luar negara untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara. Hal ini seterusnya memberi peluang pekerjaan kepada segenap lapisan masyarakat tanpa mengira golongan etnik. Kesannya, taraf hidup rakyat akan meningkat, jurang ekonomi negara dapat diseimbangkan dan ini mampu mewujudkan keharmonian dalam masyarakat Malaysia.

6.0 Kesimpulan

Hubungan etnik merupakan perkara yang sangat penting bagi masyarakat Malaysia yang bersifat majmuk. Hubungan etnik ini akan melahirkan masyarakat Malaysia yang harmonis, saling bekerjasama dan bersefahaman dan sentiasa menghayati perjanjian sosial yang telah dipersetujui sejak awal kemerdekaan lagi.

Usaha-usaha perlu diambil secara berterusan bagi memastikan hubungn etnik di Malaysia sentiasa berada dalam keadaan yang baik. Usaha-usaha ini adalah melibatkan peranan kerajaan, masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan. Apa yang penting dalam memastikan hubungan etnik sentiasa dalam keadaan baik, segala usaha ini perlu disahut oleh setiap lapisan masyarakat.

Kepelbagaian budaya dalam negara Malaysia seharusnya tidak menimbulkan masalah perkauman. Setiap kaum ataupun etnik perlu tahu dan memainkn peranan mereka dalam memastikan konflik perkauman seperti peristiwa 13 Mei berulang semula. Perpaduan kaum ini amatlah penting bagi menyumbang ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020.

Sehubungan dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur. Oleh itu, segala kerjasama semua pihak seperti kerajaan, masyarakat dan pertubuhan badan bukan kerajaan amatlah diperlukan untuk meningkatkan hubungan etnik di nagara Malaysia.

Bibliografi

Ishak Saat (2001). Malaysia 1945-2000. Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd: Kuala Lumpur

Shamsul Amri Baharuddin (2007). Modul Hubungan Etnik. Shah Alam: Universiti Teknologi Mara.

http://agy7500.blogspot.com/2009/08/siri-225-pelbagai-soalan.html

http://www.scribd.com/doc/18265935/Perayaan-Rumah-Terbuka-Malaysia

Print Email Download Reference This Send to Kindle Reddit This

Share This Essay

To share this essay on Reddit, Facebook, Twitter, or Google+ just click on the buttons below:

Request Removal

If you are the original writer of this essay and no longer wish to have the essay published on the UK Essays website then please click on the link below to request removal:

Request the removal of this essay.


More from UK Essays